APMM Nafi Serbu Masjid Di Marang, Tuduhan Tak berasas & Boleh Jejas Imej

LocalPolitics
22 Oct 2025 • 8:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available

gensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pasukan elit mereka melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang, pada 19 September lalu antara jam 5 hingga 6 petang.

APMM tak akan jadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, menegaskan tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral anggota elit negara.


“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

APMM telah maklumkan kepada pihak masjid lebih awal

Beliau menjelaskan, kehadiran pasukan elit ketika itu hanyalah sebahagian daripada latihan taktikal Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) di bawah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) — latihan penting yang membentuk daya tahan, disiplin dan kebijaksanaan anggota dalam melaksanakan misi penyamaran.

Menurutnya, masjid berkenaan hanya dijadikan tempat beriktikaf dan berehat selepas solat Asar, sebelum pelatih meneruskan tugasan seterusnya.


“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya lagi.

image is not available

Mohd Rosli turut menegaskan bahawa tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar seperti yang didakwa, sebaliknya para pelatih hanya menunaikan ibadah seperti biasa.

Elemen keagamaan juga diterapkan dalam latihan bagi memupuk jati diri dan integriti anggota penguat kuasa.

image is not available

Beliau turut memaklumkan, isu laporan polis yang timbul telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Artikel lain: Dua Anggota Maritim Cedera Dirempuh Bot Bawa PATI

Mohd Rosli menegaskan bahawa dakwaan berkenaan merupakan satu fitnah berniat jahat terhadap Maritim Malaysia, dan semua aktiviti latihan dijalankan di bawah pengawasan jurulatih kanan serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Sumber: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim