APMM P.Pinang tahan bot nelayan Indonesia tangkap ikan di perairan negara

11 Feb 2023 • 6:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat warga negara itu kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan, di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan Op Tanjung telah menahan bot itu pada 12.41 tengah hari kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh empat lelaki warga Indonesia yang kesemuanya berusia 31 hingga 40 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bot, peralatan menangkap ikan dan 100 kilogram hasil laut dirampas untuk siasatan lanjut serta pihaknya sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia. -Bernama