APMM rampas 53 bubu naga di perairan Kerian, Larut Matang

1 Apr 2023 • 5:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau merampas 53 unit bubu naga di perairan Kerian dan Larut Matang petang semalam.

Pengarahnya Komander Mohd Najhan Azman Hamid berkata semasa rondaan rutin di perairan itu, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan pelampung yang mencurigakan disyaki penanda kepada bubu naga di kedudukan 7.4 batu nautika barat Pulau Sangga Besar kira-kira pukul 2.10 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas pelampung itu telah menemukan sebanyak 53 unit bubu naga berada di lokasi terbabit dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Terdahulu, Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas sebanyak 45 unit bubu naga di dua lokasi berbeza iaitu di perairan Tanjung Piandang kira-kira pukul 3 petang Khamis lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Najhan berkata rampasan pertama melibatkan sebanyak 20 unit bubu naga di kedudukan 1.25 batu nautika barat daya Tanjung Piandang dan selebihnya di 1.55 batu nautika barat daya perairan yang sama.

“Anggaran jumlah nilai rampasan kesemua bubu naga ialah RM6,860 dengan nilai RM70 bagi setiap unit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebrang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau menerusi talian 057279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera. - Bernama