APMM tahan bot nelayan Indonesia tangkap ikan di perairan negara

27 Sep 2022 • 8:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama lima kru kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan semalam.

Pengarah APMM Kapten Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan Op Tanjung berjaya mengesan sebuah bot nelayan sedang menangkap ikan di kedudukan 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini pada 4.10 petang.

“Pemeriksaan lanjut dalam bot itu mendapati terdapat lima lelaki yang kesemuanya warga Indonesia berusia 16 hingga 21 tahun dengan tiga daripadanya bawah umur. Semua kru itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka ditahan dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM).

Katanya ini merupakan penahanan kedua membabitkan bot nelayan dari Indonesia bulan ini di perairan Pulau Pinang dengan yang pertama pada 14 Sept lepas di kedudukan 51 batu nautika barat daya Pulau Kendi.-Bernama