
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan kerana menggajikan 10 warga Myanmar yang tiada dokumen perjalanan diri, dalam pemeriksaan di kedudukan 32 batu nautika Barat Laut Pulau Kendi, dekat sini semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan rutin telah mengesan dua bot nelayan kelas C itu pada 11.30 pagi semalam dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati, dua bot yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu masing-masing dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru yang kesemuanya warga Myanmar berumur 20 hingga 41 tahun.
“Kesemua 10 lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri manakala dua pemilik bot tersebut tiada permit kebenaran menggajikan kru warga asing malah disyaki melakukan kesalahan kerana membenarkan warga asing tanpa izin tinggal di dalam bot kepunyaannya,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran.
Beliau berkata pihaknya turut menyita dua bot, peralatan menangkap ikan dan 1,000 kilogram hasil laut untuk tindakan lanjut dan beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bot agar tidak mengambil warga asing tanpa izin bekerja dengan mereka. -Bernama

