APMM terima tujuh aset baharu

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 11:19 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: APMM terima tujuh aset baharu

PUTRAJAYA – Maritim Malaysia (APMM) akan menerima tujuh Kenderaan Pengkalan Hadapan Carilamat atau Maritime Emergency Response And Coordination (MERAC) secara berperingkat bermula tahun ini bagi memperkukuh keupayaan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di lapangan.

APMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, aset itu diperoleh melalui perolehan di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan dua unit antara aset yang diketengahkan dalam perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini.

“Aset ini berperanan penting sebagai pusat operasi bergerak bagi membantu Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) menyelaras Carilamat di lapangan.

“Selain berfungsi sebagai kenderaan sokongan, MERAC menjadi sebahagian daripada imej APMM selaku agensi peneraju operasi Carilamat maritim dengan menyediakan sokongan logistik serta tindak balas pantas terhadap sebarang insiden kecemasan maritim.

“Semasa operasi dilaksanakan, MERAC akan ditempatkan berhampiran lokasi insiden sebagai Pusat Operasi Hadapan selain berfungsi sebagai pusat penyelarasan komunikasi antara agensi serta pusat pengumpulan, analisis dan penyebaran maklumat operasi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, APMM memaklumkan, MERAC turut berperanan sebagai pusat taklimat operasi kepada agensi penyelamat, membantu penyelarasan aset unit Carilamat laut dan udara serta menjadi pusat pengurusan logistik sepanjang operasi.

Pada masa sama, ia berfungsi sebagai pusat penyampaian maklumat rasmi kepada waris mangsa dan media bagi memastikan maklumat disampaikan secara tersusun, tepat dan berkesan.

“Secara keseluruhannya, tujuh MERAC yang akan diterima secara berperingkat akan memperkukuh keupayaan koordinasi MRSC di lapangan serta menyokong pelaksanaan operasi Carilamat yang lebih pantas, cekap dan teratur,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, APMM memaklumkan, penyertaan pada sambutan Hari Kebangsaan melibatkan 386 pegawai dan anggota terdiri daripada 310 peserta kontinjen perbarisan, 37 pelaku aset dan 39 pancaragam.

“Penyertaan ini bukan sekadar menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan malah membawa mesej agensi sentiasa bersiap siaga melaksanakan amanah menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara,” menurut kenyataan itu. – Bernama

The post APMM terima tujuh aset baharu appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved