Apollo catat untung bersih RM30.24 juta pada suku ketiga FY2024, meningkat 179%

Business & Finance
18 Mar 2024 • 6:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Apollo catat untung bersih RM30.24 juta pada suku ketiga FY2024, meningkat 179%

herman

18/03/2024 - 18:14

KUALA LUMPUR 18 Mac - Untung bersih Apollo Food Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2024 (3QFY2024) meningkat kepada RM30.24 juta daripada RM10.82 juta setahun lalu.

Peningkatan untung sebanyak 179% itu disumbangkan oleh pelupusan hartanah, margin yang lebih baik dan jualan domestik yang lebih tinggi.

Pendapatan suku tahunan meningkat 3.9% kepada RM73.85 juta, daripada RM71.08 juta setahun lalu.

Apollo Food mengisytiharkan dividen sebanyak 50 sen sesaham untuk suku ketiga, menjadikan dividen tahunan sehingga kini kepada 70 sen sesaham - meningkat daripada 25 sen sesaham untuk keseluruhan FY2023.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu melaporkan keuntungan daripada penjualan hartanah sebanyak RM18.6 juta.

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Januari (9MFY2024), keuntungan pelupusan membantu Apollo mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM47.83 juta, meningkat 92.5% atau RM22.99 juta, daripada RM24.84 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan setakat 9MFY24 pula meningkat kepada RM198.18 juta, daripada RM196.84 juta.

Pengarah Urusan Apollo, Cheah Jia Ming berkata, Kumpulan mencapai prestasi yang membanggakan untuk sembilan bulan berakhir 31 Januari 2024 di tengah-tengah sentimen perbelanjaan pengguna yang lemah.

"Pencapaian ini disebabkan oleh kekuatan jenama dan produk kami serta strategi harga. Tanpa keuntungan daripada pelupusan hartanah, prestasi kami untuk tempoh sembilan bulan masih mendahului tahun lepas," katanya.

Memandang ke hadapan, Apollo berkata ia akan meneroka pengembangan dengan membangunkan pasaran dan segmen pelanggan baharu.- DagangNews.com