Apple Diarahkan Membuang Aplikasi WhatsApp Dan Threads Dari App Store Di China

TechnologyDigital
19 Apr 2024 • 3:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perang dingin teknologi diantara Amerika Syarikat dan China nampaknya tidak akan berhenti dengan kedua-dua pihak berbalah mengenai teknologi apakah yang dibenarkan untuk digunakan ataupun tidak di negara-negara ini.

Tidak lama selepas perbalahan mengenai pengharaman aplikasi TikTok bermula kembali, kerajaan China, melalui badan kerajaan Cyberspace Authority mereka telah memberitahu Apple untuk membuang aplikasi permesejan WhatsApp dan juga threads dari iOS App Store di pasaran negara tersebut.

image is not available

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai arahan ini, tetapi ia telah dilaporkan bahawa sebab yang diberikan ialah ia memberi kesan terhadap keselamatan sekuriti siber di negara tersebut. Ini bukanlah kali pertama aplikasi-aplikasi Meta diharamkan di China. Facebook dan Instagram sudahpun diharamkan sebelum ini, dan satu-satunya cara untuk mengaksesnya di negara tersebut ialah melalui perkhidmatan VPN.

Jangkaan orang ramai ialah arahan ini dikeluarkan apabila ByteDance, syarikat pembangun disebalik aplikasi video ringkas TikTok sedang berhadapan dengan injunksi daripada kerajaan Amerika Syarikat yang memaksa mereka untuk menjual TikTok kepada syarikat-syarikat di Amerika untuk membolehkannya kekal beroperasi di negara tersebut.