
Di Indonesia, wujud perkhidmatan menyewa iPhone mengikut hari semata-mata untuk digunakan di konsert, bercuti atau balik kampung. Dengan iPhone yang disewa, pengguna akan kelihatan seperti mempunyai status kekayaan yang lebih tinggi kerana peranti Apple masih merupakan status kemewahan di Asia Tenggara.

Kini Bloomberg melaporkan Apple akan menawarkan pelan sewaan baharu Apple Upgrade. Menerusi Apple Upgrade, pelanggan boleh menyewa iPhone dan Apple Watch selama 24 bulan sementara sewaan iPad dan komputer Mac pula selama 36 bulan. Di akhir tempoh sewaan, pelanggan boleh membeli terus peranti, memulangkannya semula atau menaik taraf ke model lebih terkini.
Apple Upgrade dipercayai akan dilancarkan menerusi kerjasama Klarna di Amerika Syarikat sahaja. Ia berbeza dengan pelan sewa untuk beli yang ditawarkan Apple sekarang kerana menghadkan jumlah model yang ditawarkan.
Harga peranti global akan meningkat naik lagi pada H2 2026 kerana krisis RAM yang masih belum reda. Apple baru sahaja meningkatkan harga jualan peranti mereka kecuali iPhone dan Apple Watch. Sekiranya ura-ura ini benar, Apple Upgrade mungkin cara untuk masih mendapatkan pelanggan walaupun menerusi pelan sewa untuk membeli apabila harga iPhone meningkat nanti.
