Pengumuman utama di WWDC pagi tadi ialah peningkatan kemampuan Apple Intelligence yang kemudiannya menguasakan Siri AI yang kini lebih pintar. Menguasakan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) ini ialah Apple Foundation Model Generasi Ketiga (AFM 3) dengan dua versi dibangunkan untuk dijalankan pada peranti dan tiga lagi model yang dibangunkan untuk dijalankan di pelayar awanan.

Model yang dijalankan pada peranti ialah AFM 3 Core dan AFM 3 Core Advanced. AFM 3 Core ialah model dengan 3 bilion parameter yang membawakan peningkatan berbanding model AFM generasi terdahulu. Seterusnya AFM 3 Core Advanced pula ialah model dengan 20 bilion paramenter yang merupakan model paling berkuasa dijalankan pada peranti Apple.
Ia multimodal serta menyokong ciri seperti melakukan pengimlahan dengan ketepatan tinggi dan suara yang lebih ekspresif pada Siri. Apple telahpun menyatakan AFM 3 Core Advanced memerlukan peranti lebih berkuasa seperti iPhone 17 Pro dan Mac dengan sekurang-kurangnya cip M3.

Seterusnya ialah tiga mode pelayar awanan AFM 3 Cloud Pro, AFM 3 Cloud dan ADM 3 Cloud (Image). AFM 3 Cloud Pro ialah model paling berkuasa untuk dijalan di pelayar dengan ia boleh melakukan tugas ejentik serta penaakulan kompleks. Sementara AFM 3 Cloud ialah model tugasan kerja yang memerlukan kepantasan, ketepatan dan prestasi yang tinggi. Akhir sekali ADM 3 Cloud (Image) digunakan untuk suntingan gambar seperti Spatial Reframing, serta janaan imej di Image Playground.
Untuk melatih AFM, Apple menggunakan campuran data yang merangkumi maklumat yang tersedia secara umum, data yang dilesenkan atau dibeli daripada pihak ketiga, data sumber terbuka, data yang diperoleh melalui kajian khusus dan data sintetik. Data peribadi pengguna atau interaksi dengan pengguna tidak digunakan Apple semasa melatih AFM.

