Hari ini semua orang yang berminat dan berani sudah sedia menguji iOS 18, iPadOS 18, macOS Sequioa, tvOS 18 dan watchOS 11. Antara ciri yang ramai ingin gunakan adalah kemampuan kecerdasan buatan generatif Apple iaitu Apple Intelligence kerana itu antara inovasi yang paling menarik. Dukacita dimaklumkan, ciri ini masih belum sedia diuji.

Bayangkan, kalau pembangun di Amerika Syarikat pun ada senarai menunggu apatah lagi untuk versi beta umum. Apple Intelligence masih memerlukan masa untuk menjadi lebih matang kerana Apple menjadikan model AI mereka ini untuk memproses dari dalam peranti demi sekuriti yang ketat. Apple Intelligence turut terhad kepada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max dengan cip Apple 17 Pro serta peranti Apple dengan cip Apple M sahaja.

Walaupun begitu, jika anda mengemaskini iOS 18 sekarang anda akhirnya boleh mencuba bagaimana pengguna Android selama ini melakukan kustomasi skrin utama untuk lebih diperibadikan. Anda juga dapat menguji Control Center baharu, cuba menggunakan iMessage yang lebih menarik, iPhone kini menyokong perkongsian skrin ke peranti Mac, dapat menggunakan aplikasi Photos baharu dan banyak lagi.
Sama-sama kita nantikan pelbagai ciri menarik lain yang akan tiba pada iOS 18. Jika anda menguji, pastikan anda tahu risiko yang akan berlaku serta sandaran peranti telah dilakukan.


![Tular Jiran Perang Mulut Gara-Gara Rebut Parkir Punya Pasal [Video]](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)
