Pada tahun 2019, Apple telah memperkenalkan ciri Look Around pada aplikasi Apple Maps mereka, yang memberikan pemandangan panoramik 360 darjah yang lengkap dengan butiran dinamik tentang lokasi-lokasi tempatan.

Pada awal tahun ini, Apple telahpun mula memetakan sejumlah besar lokasi di Malaysia menggunakan kereta. Bermula hari ini sehingga penghujung Disember, Apple akan memulakan rakaman Look Around menggunakan individu-individu yang akan menggalas beg yang dilengkapi sistem kamera. Beg galas digunakan untuk memetakan lokasi yang tidak boleh diakses menggunakan kereta.

Menurut laman web Apple Maps, mereka akan memulakan proses kemas kini rakaman gambar bermula hari ini di lima negeri terlebih dahulu iaitu Selangor, WP Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.
Apple juga sekali lagi memastikan bahawa mereka akan menyunting gambar-gambar yang diambil untuk tidak menunjukkan identiti rakyat dan juga nombor pendaftaran kenderaan yang mungkin akan terkandung apabila ciri Look Around ini dikemaskini.
