
Apple baru sahaja melancarkan barisan iPhone generasi baharunya iaitu iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max, serta telefon boleh lipat pertama mereka, iPhone Duo. Namun, sejurus selepas pelancaran tersebut, Apple nampaknya telah secara senyap menaikkan harga jualan bagi beberapa model iPhone sedia ada di Malaysia.
Kenaikan harga ini melibatkan iPhone 17, iPhone 17e dan iPhone Air, dengan peningkatan sehingga RM1,300. Kebanyakan varian pula kini RM300 lebih mahal berbanding harga sebelum ini.
Harga baharu iPhone 17, iPhone 17e dan iPhone Air di Malaysia

Untuk lebih jelas, berikut adalah harga jualan baharu bagi iPhone 17, iPhone 17e dan iPhone Air.
iPhone Air
- Phone Air 256GB – RM5,299 (Sebelum ini RM4,999) +RM300
- iPhone Air 512GB – RM6,299 (Sebelum ini RM5,999) +RM300
- iPhone Air 1TB – RM8,299 (Sebelum ini RM6,999) +RM1,300
iPhone 17
- iPhone 17 256GB – RM4,299 (Sebelum ini RM3,999) +RM300
- iPhone 17 512GB – RM5,299 (Sebelum ini RM4,999) +RM300
iPhone 17e
- iPhone 17e 256GB – RM3,299 (Sebelum ini RM2,999) +RM300
- iPhone 17e 512GB – RM4,299 (Sebelum ini RM3,999) +RM300
Daripada semua model yang terlibat, iPhone Air 1TB mencatatkan kenaikan paling besar. Harganya kini RM8,299, iaitu RM1,300 lebih mahal berbanding harga asal RM6,999 ketika dilancarkan.
Harga peranti Apple lain turut naik sebelum ini

Kenaikan harga ini sebenarnya tidak begitu mengejutkan, memandangkan beberapa produk Apple lain turut mengalami peningkatan harga di Malaysia pada Jun lalu. Ini termasuk MacBook Neo, MacBook Air M5, MacBook Pro 16 M5, Mac Mini M4, serta siri iPad daripada model asas A16 sehingga iPad Pro 13 M5. Langkah pelarasan itu menyaksikan beberapa konfigurasi dinaikkan daripada ratusan sehingga ribuan ringgit.
Malah, CEO Apple Tim Cook sebelum ini turut memberi amaran bahawa peningkatan kos memori dan storan boleh memberi tekanan kepada harga produk Apple.
Kenaikan kos ini dikaitkan dengan peningkatan harga komponen memori, yang sebahagiannya didorong oleh permintaan tinggi daripada pusat data AI. Ketika memberi amaran tersebut, Cook bagaimanapun tidak menyatakan produk Apple mana yang akan terkesan dengan kenaikan kos berkenaan.

Kesan kenaikan kos ini turut dapat dilihat pada beberapa Mac baharu. Mac mini dengan cip M6, contohnya, dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM3,799, iaitu RM1,300 lebih tinggi berbanding harga permulaan RM2,499 bagi Mac mini M4 ketika dilancarkan pada 2024.
Menariknya, harga permulaan iPhone 18 Pro kekal sama

Menariknya, walaupun Apple menaikkan harga beberapa iPhone lama, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max masih mengekalkan harga permulaan generasi sebelumnya di Malaysia. iPhone 18 Pro bermula pada RM5,499 untuk varian 256GB, manakala iPhone 18 Pro Max bermula pada RM5,999. Harga kedua-dua varian 256GB dan 512GB juga sama seperti iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max ketika dilancarkan.
Namun, varian storan lebih tinggi tidak terlepas daripada kenaikan harga. iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max 1TB masing-masing RM1,000 lebih mahal berbanding generasi sebelumnya, manakala varian 2TB kedua-dua model pula RM2,000 lebih mahal.
Kedua-dua iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max akan dibuka untuk tempahan di Malaysia pada Sabtu ini dan mula dijual pada 18 September.
