Apple ialah pengeluar telefon pintar terbesar dunia pada Q1 2025 menurut laporan yang dikeluarkan oleh Counterpoint hari ini. Ia kali pertama Apple memegang kedudukan pertama pada suku pertama tahun sejak mereka mula menawarkan iPhone.

Apple memegang 19% pasaran diikuti oleh Samsung (18%), Xiaomi (14%), Vivo (8%) dan Oppo (8%). Secara keseluruhan pengeluaran telefon pintar sepanjang Q1 2025 meningkat 3%.
Samsung mencatatkan penyusutan terbesar iaitu -5% berbanding suku sama tahun lalu dan Oppo pula menyusut -1%. Pengeluar lain mencatatkan peningkatan antara 4-6%. Pengenalan model iPhone 16e memacu jualan Apple sementara siri Xiaomi 15 pula memacu jualan Xiaomi.
Data diambil sehingga penghujung Mac sahaja. Seperti yang kami laporkan, jualan iPhone meningkat mendadak di Amerika Syarikat pada penghujung Mac dan awal bulan ini kerana kerisauan harga peranti akan meningkat disebabkan oleh Tarif Trump.



