Apple memperkenalkan beberapa ciri ketercapaian (accessability) baharu pada peranti keluaran mereka bagi membantu golongan OKU. Antara yang diperkenalkan ialah maklumat sokongan ketercapaian pada aplikasi, Braille Access, bantuan membaca teks, Live Captions yang ditambah baik, Magnifier di Mac dan sokongan Vision Pro.

Kita mulakan dengan Accessibility Nutrition Labels yang akan memberikan maklumat terperinci ciri-ciri ketercapain yang disokong oleh aplikasi di App Store. Ini ialah evolusi seterusnya di App Store yang sebelum ini memberikan maklumat mengenai bagaimana aplikasi menjejak data pengguna.

iPhone, iPad, Mac, dan Vision Pro kini boleh digunakan untuk mengambil nota dalam format Braille. Pengguna boleh menaip terus Braille pada skrin ataupun menggunakan peranti input. Sokongan Nemeth Braille turut diperkenalkan untuk membaca nota mata pelajaran matematik dan sains. Braille Access pula boleh membaca dokumen Braille Ready Format (BRF) membolehkan nota Braille dibaca. Live Captions juga boleh melalukan transkrip audio terus ke format Braille.

Magnifier kini akhirnya tiba ke Mac yang boleh membantu pengguna melakukan zum menerusi iPhone dan dilihat terus pada skrin komputer. Tangkapan layar boleh dilakukan terus dengan gambar kemudiannya diubah menjadi nota dengan sokongan format yang memudahkan ia dibaca oleh individu dengan kemampuan penglihatan yang terhad. Apple Vision Pro juga boleh melakukan zum teks untuk kelihatan lebih besar menerusi tingkap maya yang terapung dalam mod pemandangan realiti gabungan (MR).

Accessibility Reader pula ialah sistem bantuan membaca yang disokong di peringkat sistem. Mereka yang mempunyai pemandangan yang terhad atau disleksia boleh mengaktifkan ciri ini dengan teks, reka taip, warna serta jarak huruf boleh diubah untuk memudahkan dibaca. Ciri ini boleh dibuka pada mana-mana app dan terbina dalam Magnifier untuk iOS, iPadOS, dan macOS
