Apple hari ini mengemaskini penawaran MacBook Pro yang kini hadir dengan pilihan cip pemprosesan Apple M6 terbaru. Buat masa ini, hanya versi MacBook Pro 14-inci sahaja yang hadir dengan pilihan cip Apple M6, sementara versi 16-inci masih menawarkan pilihan cip M5 Pro atau M5 Max sahaja.

Apple mengatakan komputer riba ini dioptimasikan untuk penggunaan dan tugasan berasaskan AI, dan boleh menjalankan sebarang LLM secara terus pada komputer berkenaan tanpa masalah. Untuk makluman, Siri AI masih tidak ditawarkan secara rasmi, dan pengguna perlu menggunakan LLM alternatif secara terus padanya. MacBook Pro 14-inci baharu ini turut menyokong WiFi 7, Bluetooth 6, dan masa penggunaan bateri sehingga 24 jam. Melengkapkan panel paparan adalah Liquid Retina XDR dengan kadar kecerahan mencapai 1600-nits.
Komputer riba ini menjalankan MacOS 27, dan turut hadir dengan kamera 12MP Center Stage untuk memudahkan panggilan video. Ia turut menyertakan ruangan HDMI, MagSafe 3, tiga port Thunderbolt 4, bicu audio dan juga slot SDXC. MacBook Pro M6 ini turut menyokong pengecasan pantas, boleh mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit.
Apple MacBook Pro 14-inci M6 ditawarkan pada harga bermula RM8299 di Malaysia dan boleh mencapai sehingga RM17,604 apabilan dimaksimakan dengan pilihan panel Nano-Texture, memori 32GB RAM dan storan 4TB, serta pengecasan pantas 96W. Anda yang berminat boleh melakukan pra-tempahan bermula 29 Oktober 2026, dan dijual bermula 6 November.




