Projek kereta elektrik (EV) Apple iaitu Project Titan telah dihentikan minggu ini sekaligus menamatkan usaha yang dimulakan sejak sedekad lalu. Pelbagai isu yang dihadapi menjadi faktor Project Titan gagal menghasilkan EV Apple yang pertama. Menurut The New York Times, Apple telah membelanjakan $10 bilion ke dalam Project Titan.

Jelas wang bukan menjadi penyebab projek ini berkubur. Sebaliknya ialah isu perisian swapandu yang gagal dibangunkan oleh Apple. Seperti yang pernah kami laporkan, perisian swapandu Tahap 5 yang ingin dicapai oleh pengeluar masih jauh daripada realiti. Pada ketika ini teknologi swapandu maish sekadar Tahap 3.
Elon Musk pernah berkata pemanduan swapandu Tahap 5 akan tiba menjelang 2020 dengan pada waktu itu Tesla akan mula menawarkan perkhidmatan teksi. Sasaran telah terlajak dan Elon tidak lagi bercakap mengenainya.
Pelbagai cabaran menghadapi semua jenis cuaca, faktor keselamatan dan teknologi yang belum cukup matang menyebabkan kereta swapandu Tahap 5 masih belum menjadi kenyataan. Apple sering dilabel syarikat yang menanti masa yang tepat sebelum melancarkan produk. Nampaknya dengan apa yang ingin dicapai kelihatan mustahil lebih baik ia dibatalkan sahaja terlebih dahulu.



