
Arab Saudi Benarkan Sesi Akad Nikah Di Masjidil Haram & Masjid Nabawi
Pihak berkuasa Arab Saudi telah membenarkan upacara akad nikah untuk dijalankan di dua kawasan tersuci dalam agama Islam iaitu, Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Inisiatif baharu ini telah diumumkan Kementerian Haji dan Umrah, yang mana untuk memberikan pengalaman luar biasa kepada para jemaah dan pengunjung, lapor akhbar tempatan Al-Watan.
Sekumpulan pakar telah melihat inisiatif ini sebagai satu peluang kepada syarikat-syarikat untuk mengemukakan idea-idea yang bersifat inovatif.
Melalui inisiatif ini, syarikat-syarikat akan menganjurkan acara sedemikian termasuk mengambil kira kesucian dua masjid berkenaan.
Pegawai pendaftar perkahwinan, Musaed Al Jabri berkata menjalankan upacara akad nikah di masjid adalah dibenarkan dalam Islam.
Beliau juga mengatakan bahawa Nabi Muhammah S.A.W juga pernah mengadakan upacara akad nikah bagi sahabatnya di dalam masjid.
Tambah Al Jabri, upacara akad nikah di dalam Masjid Nabawi sudah pun menjadi satu kebiasaan dalam kalangan penduduk Madinah.
“Ini disebabkan beberapa faktor. Ada di antara mereka mempunyai tradisi menjemput kebanyakan saudara-mara pasangan yang bakal berkahwin.
“Kebiasaannya, rumah keluarga bakal isteri tidak dapat menampung semua jemputan. Jadi, majlis akad nikah dijalankan di Masjid Nabawi atau Masjid Quba (masjid pertama dibina dalam Islam),” ujarnya.
Beliau juga berkata segelintir orang percaya, jika upacara akad nikah dijalankan di dalam masjid, kedua-dua pasangan akan mendapat rahmat dan rezeki yang melimpah ruah dalam perkahwinannya.
Peraturan perlu dipatuhi bagi memastikan kesucian dua kawasan tersuci dalam agama Islam terjaga
Sungguhpun begitu, hadirin yang menghadiri majlis juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan bagi memelihara kesucian rumah Allah itu.
Al Jabri menjelaskan peraturan perlu dipatuhi agar tidak mengganggu para jemaah yang sedang beribadah di perkarangan masjid.
“Hal ini termasuklah mengelak bunyi bising yang mampu menggangu para jemaah serta membawa masuk banyak makanan, gula-gula atau kopi di tempat suci berkenaan,” katanya.
Untuk makluman, jutaan penganut agama Islam dari pelosok dunia akan pergi ke Masjidil Haram setiap tahun bagi menjalankan ibadah haji dan umrah.
Selain tu, mereka juga akan melawat Masjid Nabawi, yang menjadi lokasi pesemadian NNabi Muhammad S.A.W serta beberapa mercu tanda Islam di Madinah.
Sumber: Gulf News
The post Arab Saudi Benarkan Sesi Akad Nikah Di Masjidil Haram & Masjid Nabawi appeared first on Siakap Keli.


