Arab Saudi Bina Kereta Kabel Ke Gua Hira

3 Sep 2024 • 5:39 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Arab Saudi Bina Kereta Kabel Ke Gua Hira

Kerajaan Arab Saudi bakal membina sistem kereta kabel untuk memudahkan akses ke Gua Hira, dan ia dijangka beroperasi menjelang tahun 2025.

Menurut The Express Tribune, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan lagi pengalaman para jemaah berkunjung ke gua tersebut.

Gua Hira di Jabal Al Noor, Mekah, terletak kira-kira 634 meter di atas paras laut, sekitar 4 kilometer dari Masjidil Haram.

Difahamkan, gua tersebut yang boleh memuatkan lima orang, menjadi tempat penting dalam sejarah Islam.

Ia adalah sebuah tempat yang sangat dihormati oleh umat Islam kerana di situlah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya.

Sebelum ini, mengunjungi gua tersebut adalah satu cabaran buat para jemaah kerana cerun gunung yang curam dan perjalanannya yang sukar.

Namun, pembukaan jalan berturap baru-baru ini telah memudahkan akses ke gua itu.

Tambah The Express Tribune, Ketua Pegawai Eksekutif Samaya Investment Company, Fawaz Al-Muhrej telah mengetuai projek kereta kabel itu.

Beliau mengesahkan bahawa ia dijangka dibuka pada tahun 2025, dengan persiapan terakhir sedang dijalankan.

Dalam pada itu, projek kereta kabel tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan yang lebih besar di Arab Saudi.

Ini turut merangkumi pembinaan Daerah Kebudayaan Hira, selain pembukaan tiga muzium baharu di Jabal Omar, yang dijadualkan siap pada tahun yang sama.

Selain itu, Daerah Kebudayaan Jabal Thor, sebuah kawasan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, juga akan dilancarkan pada tahun 2025.