
RIYADH: Arab Saudi memintas enam peluru berpandu balistik Houthi pada Khamis selepas mengeluarkan amaran untuk beberapa wilayah termasuk Mekah, ketika kumpulan yang disokong Iran itu meningkatkan serangan terhadap kerajaan.
Serangan itu dilaporkan ketika pertempuran sengit berlaku di Yemen antara Houthi dan tentera kerajaan yang disokong Riyadh, mengorbankan puluhan nyawa di kedua-dua pihak, menurut angka yang dikumpulkan daripada tujuh sumber yang bercakap kepada AFP.
Peluru berpandu itu adalah yang terbaharu dalam siri serangan Houthi yang semakin meningkat sejak Julai, apabila permusuhan kembali tercetus dan memusnahkan gencatan senjata yang berlangsung selama beberapa tahun, sekali gus mengheret Yemen ke dalam perang lebih meluas di Asia Barat.
Sejak itu, Houthi mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi, menyerang kapal tangki dan wilayah negara itu serta merampas sebahagian besar kawasan pantai Laut Merah Yemen yang penting bagi eksport minyak Arab Saudi.
Gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen dalam memerangi Houthi sejak 2015 berkata, enam peluru berpandu balistik berjaya dipintas, sekali gus menggagalkan serangan terhadap Taif dan Yanbu.
“Peningkatan ketegangan dan pelanggaran yang dilakukan Houthi akan ditangani dengan tegas,” kata jurucakap gabungan, Turki al-Malik, dalam hantaran di X.
Sebelum itu, Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan beberapa amaran ringkas termasuk untuk Mekah, lokasi tempat suci paling utama dalam Islam, selain amaran berasingan untuk wilayah Yanbu di Laut Merah dan kawasan Taif, Jeddah serta Tabuk.
Amaran itu ditarik balik beberapa minit kemudian.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, amaran seumpama itu sering dikeluarkan sebelum serangan oleh Houthi.
Minggu lalu, Riyadh menuduh kumpulan itu menyasarkan Mekah buat kali pertama sejak 2017 dengan sebuah dron yang berjaya ditembak jatuh, dakwaan yang dinafikan Houthi.
Beberapa hari kemudian, kumpulan itu menyerang ibu negara Arab Saudi, Riyadh, serangan pertama dalam tempoh beberapa tahun -sekali gus menandakan peningkatan baharu dalam konflik itu. – AFP
The post Arab Saudi pintas enam peluru berpandu dari Yemen appeared first on Utusan Malaysia.


