Arab Saudi utamakan keselamatan, kesihatan dalam kuota tambahan haji

LocalPolitics
12 Nov 2025 • 6:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Na’im berucap pada majlis Perasmian Kelas KAFA Orang Kelainan Upaya OKU Pekak anjuran YADIM di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan dan kesihatan jemaah haji menjadi faktor utama yang dipertimbangkan kerajaan Arab Saudi dalam menentukan kelulusan kuota tambahan haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam pertemuan rasmi baru-baru ini bagi membincangkan pelbagai aspek pengurusan haji termasuk permohonan Malaysia untuk mendapatkan kuota tambahan jemaah.

"Saya ada sampaikan tentang hasrat kita supaya kuota tambahan diberikan kepada Malaysia.

"Namun, kerajaan Arab Saudi berkata, mereka akan teliti faktor keselamatan dan kesihatan terlebih dahulu, sebab mereka tidak mahu jemaah terlalu ramai, ditambah pula haji dan umrah jatuh pada musim panas yang boleh meningkatkan risiko kematian,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas pelancaran Kelas Bimbingan Fardu Ain Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk menambah kuota haji, Malaysia akan diberikan keutamaan berdasarkan kecekapan dalam pengurusan haji dan disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah haji negara.

Sebelum ini, Mohd Na’im memaklumkan Malaysia telah menghantar permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota jemaah haji bagi musim haji 2026, berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota haji Malaysia sebanyak 31,600 jemaah. - Bernama

View Original Article