BATU PAHAT – Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di Johor kekal baik meskipun Pas mengarahkan ahli serta penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, arahan yang dikeluarkan kepimpinan Pas di peringkat pusat itu tidak menjejaskan hubungan mereka kerana kerjasama di peringkat negeri masih berjalan dengan baik.
"Sebenarnya di peringkat Johor, hubungan kami dengan Pas 'not that bad'.
"Bila disebut ada beberapa pimpinan yang mahu mengembalikan hubungan Pas dengan BN di bawah Muafakat Nasional (MN), kami di Bersatu Johor ikut keputusan pimpinan pusat parti.
"Kami mengambil Muafakat Nasional sebagai satu NGO sahaja, bukan lagi sebuah gabungan politik. Jadi kami tidak ambil peduli sangat tentang perkara itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Mohd Rashid, Bersatu Johor tidak melihat isu berkenaan sebagai sesuatu yang perlu diberikan perhatian kerana fokus parti adalah memastikan kerusi-kerusi yang ditandingi terus dimenangi calon Melayu di bawah PN.
Katanya, PN tidak terkesan dengan perkembangan tersebut kerana parti itu mempunyai naratif tersendiri dalam menghadapi kempen PRN Johor.
"Kerjasama antara UMNO dan DAP kekal menjadi isu yang dibawa PN kepada pengundi.
"Apabila timbul cadangan untuk Pas kembali bekerjasama dengan BN, kami di Bersatu melihat semula isu 1MDB dan kerjasama UMNO dengan DAP yang akhirnya menjadi titik penilaian rakyat.
"Jadi tanpa Pas sekalipun, kerjasama UMNO-DAP di peringkat Persekutuan menjadi antara isu yang memberi kelebihan kepada kami dalam kempen Perikatan Nasional," katanya.
Tambah beliau, PN Johor tidak mudah terpengaruh dengan perkembangan tersebut kerana parti itu memberi tumpuan kepada aspirasi rakyat negeri ini.
"Kami tidak terbuai-buai dengan isu ini kerana kami melihat arah pandu Bangsa Johor.
"Jadi, kami semua bersatu di bawah Bangsa Johor," katanya.






