
Aras Air Sembilan Sungai Di Selangor Termasuk Sg. Klang Di Taman Sri Muda Lepasi Paras Bahaya
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia melalui satu hebahan sebentar tadi memaklumkan aras air melibatkan sembilan stesen di sembilan sungai di Selangor kini melepasi paras bahaya.
Stesen-stesen tersebut melibatkan Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat; Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang; Sungai Klang di Taman Sri Muda, Klang; Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat.
Seterusnya, air juga melepasi paras bahaya di Sungai Bakul di Kampung Budiman, Petaling; Sungai Langat di Dengkil, Sepang; Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang dan Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang.
Beberapa sungai berkenaan bagaimanapun menunjukkan trend aras air menurun.



Di Sarawak pula, aras air tiga stesen melibatkan stesen Long Jegan, Long Teru dan Marudi di Miri juga kini berada pada status bahaya.

Seterusnya di Johor, JPS melaporkan aras air di Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat kini berada pada status bahaya. Manakala di Negeri Sembilan, laporan aras bahaya melibatkan Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson.


Di Melaka, status Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah juga berada pada paras bahaya. Manakala beberapa sungai di Pahang, Kelantan dan Kedah pula diberikan status amaran.




Orang ramai yang berada di kawasan yang dinyatakan diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa laporan bencana dalam negara. Juga diingatkan agar semua dapat mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana di kawasan masing-masing.
BACA: Banjir Kilat, Jalan Di Persimpangan Lampu Isyarat Kiwa Dari Cyberjaya Ke KLIA/BBST/Nilai Ditutup
Sumber: JPS Malaysia
The post Aras Air Sembilan Sungai Di Selangor Termasuk Sg. Klang Di Taman Sri Muda Lepasi Paras Bahaya appeared first on Siakap Keli.
