KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Majlis Preview bagi ASEAN Real Estate Conference (AREC) dan The 25th International Architecture, Interior Design&Building Exhibition (ARCHIDEX) 2026 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur petang ini. Program ini dilihat sebagai usaha strategik Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama serantau serta rantaian bekalan, terutamanya dalam mendepani kesan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang sedang mempengaruhi ekonomi global.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming menegaskan bahawa meskipun dunia berdepan kenaikan kos bahan binaan akibat konflik di Asia Barat, Malaysia kekal berada di landasan ekonomi yang teguh. Pengiktirafan oleh institusi antarabangsa seperti JPMorgan yang menamakan Malaysia sebagai antara ekonomi paling berdaya tahan di Asia memperkukuh keyakinan pelabur terhadap pasaran hartanah tempatan.
Penganjuran AREC 2026 akan mengekalkan tiga (3) segmen utama iaitu AREC: Forum, AREC: Business Matching dan AREC: Exhibition. Antara intipati penting yang diperkukuh dalam penganjuran tahun ini termasuklah:
- Pencapaian Luar Biasa RMK-12: KPKT telah berjaya melepasi sasaran dengan meluluskan pembinaan 511,544 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
- Insentif ‘Fast-Track’: Kerajaan kini menawarkan kelulusan laluan pantas sebagai insentif kepada pemaju yang komited menyediakan unit perumahan mampu milik.
- Inisiatif Simen Rahmah: Strategi menangani kenaikan kos bahan binaan melalui kerjasama dengan Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia bagi menawarkan harga simen di bawah kadar pasaran untuk projek rumah mampu milik bawah RM300,000 seunit.
- Resiliensi Fiskal MADANI: Kerajaan menyasarkan penjimatan sehingga RM10 bilion melalui rasionalisasi perbelanjaan operasi, yang akan disalurkan semula secara strategik ke sektor kritikal bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat.

Bertemakan “Rethinking Real Estates : Housing With Hearts”, AREC mengajak pemain industri beralih daripada pembangunan berorientasikan keuntungan semata-mata kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
"Di KPKT, kami mengamalkan prinsip 'pintu terbuka, minda terbuka, dan hati terbuka'. Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Malaysia memegang amanah besar untuk menyatukan idea transformatif melalui prinsip 4P (People-Public-Private Partnerships) dan menterjemahkannya kepada tindakan di peringkat lokal (Think Global, Act Global)," ujar YB Tuan Nga Kor Ming.
AREC dan ARCHIDEX 2026 yang dianjurkan bersama C.I.S Network Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) ini dijangka berlangsung pada 29 Julai hingga 1 Ogos 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Ia bakal menjadi platform global bagi pemimpin industri bertukar inovasi serta mengukuhkan rantaian bekalan serantau.
