
MEMBAKUT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Membakut Datuk Ariffin Arif yakin rakyat akan menyokong gabungan itu walaupun dijangka calon Barisan Nasional (BN) bakal memberi saingan pada pilihan raya negeri ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian PGRS Membakut berkata keyakinan itu berdasarkan khidmat terbaik yang telah diberikan kepada rakyat sejak menjadi wakil di kawasan itu selama lima penggal.
Katanya, pembangunan yang telah dibawa merangkumi pelbagai aspek melibatkan pendidikan antaranya bantuan kepada pelajar, prasarana, kebajikan serta sosial masyarakat.
“Selama 18 tahun kita berikan bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan semua sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan ini.
“Kita juga telah membangunkan pelbagai prasarana malah kita menyantuni semua golongan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau pun ideologi politik. Semuanya kita jaga.
“Membakut juga kini menjadi daerah penuh dan selepas ini akan ada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Majlis Daerah Membakut (MDM) dan Kompleks Sukan Daerah yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya selepas menyempurnakan Pelajaran Jentera GRS Dun Membakut, di sini pada Khamis.
Ariffin berkata pembinaan Institut Tahfis Al-Quran (ITKAS) bertaraf Diploma yang terletak di bawah kerajaan negeri juga akan dibina di Membakut termasuk beberapa lagi pembangunan untuk rakyat.
Katanya, semua pembangunan yang telah atau bakal dibawa itu menunjukkan masyarakat di kawasan ini mahukan kemajuan dan mereka turut bekerjasama untuk pastikan aspirasi itu direalisasikan.
“Insya Allah, rakyat tahu menilai siapa yang telah memberikan khidmat terbaik untuk mereka, demikian juga pelbagai pembangunan dilaksanakan kerajaan GRS (sebelum ini) yang telah dirasai semua rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Untuk rekod, Ariffin menjadi wakil rakyat Membakut selama lima penggal sejak 2004 dan pada PRU16, beliau telah memenangi kerusi itu dengan 6,363 undi mengatasi empat calon lainnya dengan majoriti 2,244 undi.
