Arkitek ditahan kemuka tuntutan palsu bernilai RM3 juta

20 Aug 2022 • 4:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang arkitek ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu dianggarkan bernilai RM3 juta berkaitan sebuah projek pembangunan di pantai timur.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lepas.

Sumber berkata lelaki berkenaan ditahan kira-kira 6 petang semalam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

“Suspek disyaki terlibat dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.

“Lelaki direman empat hari bermula hari ini selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman oleh SPRM pagi ini,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-Bernama