IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menggesa kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan memberikan penghargaan sewajarnya kepada semua anggota penyelamat serta sukarelawan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin, 49.
Ketuanya, Halim Nayan berkata, penemuan Jaslinda berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya hasil pengorbanan, ketabahan dan kesungguhan ratusan anggota penyelamat serta sukarelawan yang terlibat.
Menurutnya, sepanjang operasi berlangsung anggota keselamatan dan penyelamat sanggup meninggalkan keluarga, meredah hutan tebal, berdepan cuaca tidak menentu serta mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan seorang rakyat Malaysia.
"Kami berpandangan jasa anggota polis, bomba, Perhilitan, malim gunung, komuniti Orang Asli dan seluruh sukarelawan yang terlibat mesti dihargai melalui tindakan yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pengiktirafan rasmi, insentif khas, anugerah penghargaan atau bantuan kebajikan kepada anggota yang terlibat sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.
Menurutnya, jika kerajaan mampu membelanjakan jutaan ringgit bagi pelbagai program dan acara, kerajaan juga seharusnya mampu menyediakan penghargaan setimpal kepada mereka yang mempertaruhkan nyawa demi rakyat.
Sehubungan itu, Halim meminta kerajaan supaya segera mengumumkan bentuk penghargaan khas kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR Jaslinda.
Katanya, langkah itu penting sebagai tanda penghormatan kerajaan terhadap pengorbanan anggota penyelamat dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan operasi berkenaan.
Semalam operasi SAR wanita hilang di Gunung Batu Putih yang berlangsung sejak 24 Mei lalu ditamatkan selepas Jaslinda berjaya ditemui dalam keadaan sedar di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah.




