Armada Bersatu mahu PRU15 disegerakan

Politics
22 Jun 2022 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera bagi menyelesaikan masalah rakyat yang gagal ditangani kerajaan ketika ini.

Exco Armada Bersatu Nasional, Muhammad Farhan Abdul Rahim berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini tidak mampu menangani masalah kenaikan kos sara hidup yang terus meningkat termasuk minyak masak walaupun Malaysia merupakan antara pengeluar minyak sawit utama dunia.

Jelas beliau, Armada Bersatu melihat idea untuk memperkenalkan beberapa program baharu bagi mengutip duit daripada rakyat seperti pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sesuatu yang sangat tidak wajar.

"Adakan sahaja PRU15 dan berikan peluang kepada rakyat memilih pemimpin yang baik untuk Parlimen mereka. Malaysia tidak lagi mampu menanggung 'biawak hidup' dalam kerajaan negara ini.

"Datuk Seri Ismail Sabri, bersempena Aidiladha yang bakal tiba ini, jika ada sedikit rasa malu dan maruah, sila letak jawatan atau lebih baik bubarkan Parlimen dan adakan PRU15," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad Farhan berkata, GST bukan solusi bagi masalah di negara ini sebaliknya cukai harus dikenakan ke atas ahli perniagaan yang mempunyai kekayaan dalam negara sebelum mengenakan cukai kepada rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, rakyat perlu lebih cakna ketika membuang undi pada PRU15 nanti dengan memilih pemimpin yang beriman dan bukan pemimpin yang menabur wang serta sekadar mengopi bersama sebelum pilihan raya.

"Saya juga mengajak pimpinan pemuda rentas parti dalam negara ini untuk melupakan perbalahan parti seketika dan melihat wajah rakyat serta masa depan anak-anak kecil yang akan mewarisi negara ini.

"Cukuplah budaya mengipas pemimpin parti untuk jawatan lebih tinggi. Apa guna berjawatan tinggi jika kelak negara jadi padang jarak padang terkukur? Desaklah pemimpin anda, untuk kali ini buatlah perkara yang betul," katanya.

Menurutnya, pemimpin yang mempunyai rekod rasuah dan salah laku tidak harus diberikan peluang untuk mewakili rakyat pada pilihan raya nanti.