Armada dakwa Pas `hancurkan’ PN  

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 1:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Armada dakwa Pas `hancurkan’ PN  

PETALING JAYA: Kegagalan pemimpin utama Pas dalam mengurus tatacara mesyuarat serta pengabaian beberapa fasal perlembagaan didakwa telah menghancurkan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan mentadbir gabungan itu seolah-olah hak milik peribadi dengan membuat keputusan penting tanpa konsensus menyeluruh parti komponen.

Katanya, Armada mengambil maklum keputusan rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 20 Oktober 2026 yang membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

“Tamparan hebat ini adalah kemelut yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pengurusan tertinggi gabungan menghormati asas pentadbiran pertubuhan.

“Keangkuhan itu telah menghancurkan sebuah wadah politik yang dibina atas air mata dan keringat akar umbi.

“Fakta sejarah membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memimpin dan memelihara kedudukan Perikatan Nasional dengan begitu baik, teratur dan patuh undang-undang sejak dari hari pertama penubuhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris Idaham berkata, kehancuran PN tidak sampai beberapa bulan selepas pentadbirannya beralih kepada Ahmad Samsuri tahun ini membuktikan ketidakcekapan yang amat memalukan.

Katanya, maruah, hak serta suara tulen seluruh ahli Bersatu di peringkat akar umbi perlu dipelihara dalam menentukan haluan politik selepas ini.

“Bergerak ke hadapan, Armada mendesak agar satu pelan penstrukturan semula haluan politik segera digerakkan.

“Kami bersedia untuk bangkit membina semula kekuatan tanpa perlu tunduk kepada mana-mana pihak yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi agenda perjuangan demi rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Armada dakwa Pas `hancurkan’ PN   appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved