Armizan nafi dakwaan subsidi tong gas dihapus

LocalPolitics
24 May 2025 • 11:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

Kota Kinabalu: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menafikan tuduhan subsidi tong gas akan dihapuskan jika peniaga menggunakan lebih daripada 42 kilogram (kg) gas LPG setiap bulan.

Beliau berkata, dakwaan dibangkitkan pemimpin Warisan, Junz Wong itu jelas dangkal kerana turut menyalahkan kerajaan negeri yang tiada langsung bidang kuasa bagi kawalan gas LPG yang terletak di bawah agensi kerajaan persekutuan.

Katanya, tiada pemansuhan subsidi, sebaliknya setiap peniaga kedai makan komersial atau gerai hanya perlu memohon Permit Barang Kawalan (PBK) jika penggunaan gas LPG melebihi kadar 42kg atau tiga tong gas dalam satu masa.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Menurutnya, tindakan itu tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuatkuasa sejak 15 Oktober 2021 lalu di masa pentadbiran kerajaan persekutuan terdahulu.

“Peraturan diwartakan ini menghendaki mana-mana pihak yang menyimpan (guna) LPG di premis pada satu-satu masa melebihi kadar 42 kilogram perlu memohon PBK kerana gas LPG adalah barang kawalan.

“Mereka yang tidak menyimpan atau mengguna melebihi had itu tidak tertakluk kepada keperluan PBK.

“Saya tidak fikir banyak kedai makan apatah lagi gerai makan atau gerai ‘burger’ yang beliau sebutkan, perlu untuk menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa, melainkan premis perniagaan berskala besar,” katanya pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong melalui akaun Facebook miliknya menuduh kerajaan GRS-PH melaksanakan dasar tidak mesra perniagaan di Sabah dengan menghapuskan subsidi tong gas kepada peniaga kedai makan.

Wakil rakyat Tanjung Aru itu mendakwa pemansuhan subsidi berlaku jika penggunaan gas LPG oleh peniaga kedai makan komersial, restoran dan gerai melebihi 42kg setiap bulan, sekali gus akan menyebabkan harga makanan di premis terbabit meningkat drastik.

Armizan berkata, dokumen yang didakwa sebagai notis kompaun oleh Junz juga sebenarnya adalah Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP), iaitu dokumen standard yang digunakan semasa pemeriksaan rutin oleh penguatkuasa KPDN.

“Dokumen KPP ini nanti akan diserahkan penguatkuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis berkaitan termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.

“Pemeriksaan ini termasuk pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan Permit Barang Kawalan, bukannya notis kompaun seperti didakwa,” katanya.

Ahli Parlimen Papar turut membidas dakwaan Junz bahawa peraturan itu akan menyebabkan beban kos ditanggung rakyat, sebaliknya menegaskan subsidi LPG datang daripada dana awam, termasuk pembayar cukai.

Sehubungan itu katanya, tidak wajar semua kos perniagaan khususnya perniagaan berskala besar ditanggung oleh duit rakyat kerana subsidi bersasar itu bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah.

“Subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada 2024 dan ia adalah subsidi kepenggunaan, bukan subsidi perdagangan, justeru tidak wajar semua kos perniagaan, termasuk perniagaan berskala besar, ditanggung melalui duit rakyat,” tegasnya.

Armizan menyifatkan tuduhan Junz itu bermotif politik sebagai cubaan untuk mengelirukan rakyat dengan meletakkan kesalahan terhadap kerajaan GRS-PH Plus dan kerajaan persekutuan.

Timbalan Setiausaha Agung GRS itu berkata, Junz sebagai wakil rakyat Warisan yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, tidak wajar mencalarkan imej kerajaan persekutuan melalui kenyataan tidak benar seumpama itu.

“Sekiranya YB Tanjung Aru ada kes spesifik mana-mana perniagaan yang perlu menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa, saya mohon maklumkan saya.

“Kita boleh semak sama ada premis-premis ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga berpatutan, sekiranya kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk halalkan subsidi duit rakyat digunakan untuk operasi perniagaan mereka,” cabarnya.