
Beberapa minggu lepas, Disney memperkenalkan pelbagai siri digital dan filem terbaru mereka menerusi Ekspo D23 di Anaheim, Los Angeles. Antara siri digital dan filem yang diperkenalkan ialah siri kelima filem Indiana Jones, Avatar: The Way of Water, Armor Wars, Daredevil: Born Again dan Thunderbolts. Sejak itu, Armor Wars yang sebelum ini dipromosikan sebagai siri Marvel Studios untuk Disney+ kini diangkat sebagai filem penuh untuk tayangan di pawagam.
Pengumuman ini dianggap signifikan bagi peminat Marvel Cinematic Universe (MCU). Selalunya, apabila sesebuah siri Disney+ diumumkan termasuk terbitan Marvel Studios, ia memang khusus untuk platform digital berkenaan. Tetapi buat kali pertama, ketua studio Kevin Feige melihat siri ini patut dibawa ke layar perak sebagai filem penuh.
Diambil daripada jalan cerita komik Iron Man bertajuk Armor Wars (1987-1988), ia berkisar tentang obsesi Tony Stark/Iron Man mendapatkan semula teknologi sut perisainya bagi mengelak ia digunakan oleh penjahat-penjahat. Ini selepas teknologi tersebut dijual oleh Justin Hammer (Sam Rockwell dalam filem Iron Man 2).
Dengan bantuan James 'Rhodey' Rhodes (War Machine), Iron Man memburu mana-mana individu yang didapati menggunakan teknologi sutnya. Secara ringkas, ia tidak berakhir dengan baik untuk Stark dan Rhodey. Walaupun mereka berjaya memenangi Armor Wars, mereka terpaksa membayar harga mahal iaitu hubungan renggang dengan adiwira-adiwira lain termasuk Captain America.
Dalam sejarah MCU, Armor Wars belum lagi diadaptasi dalam mana-mana filem. Tetapi konsep penjahat mencuri teknologi dan rekaan Stark bukan cerita baru bagi yang biasa dengan trilogi filem Iron Man.

Filem Iron Man (2008) misalnya menampilkan Obadiah Stane (Jeff Bridges) membina sut Iron Monger berdasarkan sut terawal Stark sebelum menentang Iron Man pada akhir filem. Manakala dalam Iron Man 2, banyak negara dan pembangun senjata termasuk Hammer cuba membina sut perisai Iron Man versi mereka seperti didedahkan Stark pada awal filem.
Sedikit berbeza daripada versi komik, Armor Wars versi MCU bakal menjadikan Rhodey (Don Cheadle) sebagai protagonis utama. Motivasi beliau juga berbeza iaitu melindungi teknologi Stark daripada digunakan sebagai senjata. Tidak mustahil salah satu motivasi Rhodey ialah memburu individu yang menjual rekaan dan teknologi sut perisai Stark selepas beliau mati dalam Avengers: Endgame. Apabila itu berlaku, maka menjadi tanggungjawab Rhodey untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
Mengambil kira pengumuman di D23 bahawa Armor Wars akan menyusul selepas minisiri Secret Invasion, ini turut mendedahkan bagaimana War Machine sanggup melanggar batasan bagi menghentikan penggunaan sut-sut perisai Stark secara terbuka.
Ini kerana Secret Invasion berkisar tentang pencerobohan spesies makhluk asing ke bumi yang dipanggil Skrull. Disebabkan Skrull berupaya menyamar menjadi sesiapa yang mereka kehendaki termasuk adiwira-adiwira MCU seperti disaksikan dalam filem Captain Marvel, ini menyebabkan Nick Fury (Samuel L. Jackson) sukar mempercayai sesiapa sembarangan.

Situasi ini pastinya akan membuatkan Rhodey keberatan mendapatkan bantuan dalam filem berkenaan. Ini secara tidak langsung bukan saja menjelaskan bagaimana hubungannya dengan adiwira-adiwira MCU lain renggang. Malah, ia juga berpotensi menjadikan Rhodey sebagai satu ancaman bersaiz Avengers disebabkan kecanggihan teknologi sut yang dimilikinya.
Buat masa ini, Marvel Studios belum mengumumkan sutradara untuk filem berkenaan. Bagaimanapun, Yassir Lester yang dibawa masuk sebagai penulis siri Armor Wars dikekalkan.
Menariknya, ada yang berspekulasi disebabkan ia dinaiktaraf sebagai filem, peminat MCU dapat melihat kemunculan semula Robert Downey Jr. sebagai Tony Stark. Stark boleh saja muncul sebagai A.I atau babak-babak imbas kembali pra-Endgame yang berpotensi memberi kesan kepada Armor Wars.
Jika benar Downey Jr. kembali sebagai Stark, maka molek juga untuk Marvel Studios mempertimbang nama Jon Favreau sebagai pengarah. Favreau ketika ini sibuk menyelia beberapa produksi siri Star Wars termasuk The Mandalorian. Tetapi jika ini direalisasikan oleh Feige, ini menjadikan Armor Wars signifikan dari segi legasi Stark kepada MCU.
Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.
Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.


