ART Malaysia-AS tidak terpakai, kadar tarif baharu akan ditentukan - Johari

15 Mar 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Johari

KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) kini tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Oktober lalu, Malaysia sepatutnya dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, buat masa ini Malaysia hanya dikenakan tarif global sebanyak 10 peratus.

"Sekarang ini Trump menggunakan Seksyen 122 di bawah Akta Perdagangan 1974 AS yang menetapkan tarif 10 peratus kepada Malaysia.

"Jadi dalam tempoh lima bulan ini, pihak AS akan membuat semakan sama ada mahu menggunakan Seksyen 301 bagi menentukan kadar tarif baharu," katanya pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Desa Pandan pada Ahad.

Sebelum ini, Johari dilapor memaklumkan, Malaysia sedang meneliti perkembangan dasar perdagangan terbaharu AS termasuk menilai skop serta implikasi keputusan pentadbiran Trump yang mengumumkan pelaksanaan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara.

Beliau berkata, Malaysia sehingga kini masih belum meratifikasi ART meskipun perjanjian itu telah ditandatangani pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Johari menjelaskan, AS akan menilai empat perkara sebelum menentukan kadar tarif baharu berkenaan.

Antaranya ialah kemungkinan berlaku lambakan produk Malaysia di pasaran AS, penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran dan penggunaan pekerja tidak sah atau bawah umur.

Selain itu katanya, aspek perlindungan alam sekitar turut menjadi antara kriteria penilaian.

"Macam (penilaian) persekitaran (dikenakan) Eropah, AS ambil kira persekitaran, apa yang merosakkan persekitaran. Keempat, dia mahu tengok apabila sesebuah negara itu eksport barang dia, kerajaan bagi subsidi tak kepada pihak pengeksport.

"Kalau dia bagi subsidi pihak pengeksport, maknanya negara itu sudah menurunkan harga produk semata-mata mahu pastikan industri yang ada di sana, (kalau dia) melawan kita, dia akan kalah. Sebab kita bagi lebih murah. Itu tujuannya," ujarnya.

Tambah beliau, perkara lain yang turut diteliti ialah sama ada kerajaan sesebuah negara memberi subsidi kepada pengeksport sehingga menyebabkan harga produk menjadi lebih murah di pasaran antarabangsa.

Penilaian tersebut menurutnya, bukan sahaja dikenakan terhadap Malaysia malah melibatkan kira-kira 60 negara yang berdagang dengan AS.

View Original Article