
ANKARA – Angkatan Tentera Republik Islam Iran (Artesh) menegaskan kesiapsiagaan mereka untuk berdepan sebarang operasi darat oleh Amerika Syarikat (AS) seperti yang dilaporkan media Barat.
Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Brigedier Jeneral Ebrahim Zolfaghari berkata, Artesh diibaratkan sebagai ‘jerung’ di Teluk Parsi yang bersedia membaham mana-mana pihak yang menceroboh wilayah Iran.
Menurutnya, tentera Iran telah lama bersedia menghadapi sebarang bentuk pencerobohan atau pendudukan, sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian hanya akan membawa kehancuran dan kematian kepada pihak lawan.
“Mana-mana pencerobohan hanya akan membawa kehancuran, penghinaan dan kematian kepada mereka.
“Komander serta tentera AS akan menjadi mangsa mudah kepada ‘jerung’ di Teluk Parsi,” katanya dalam kenyataan video yang disiarkan agensi berita Mehr News.
Dakwaan Pengaruh Israel Dan Kritikan Terhadap Trump
Dalam masa sama, beliau mendakwa ancaman Presiden AS, Donald Trump untuk melancarkan operasi darat serta menguasai beberapa pulau strategik di Teluk Parsi didorong oleh pengaruh perisikan Israel.
Zolfaghari turut menuduh Trump bertindak sebagai alat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam usaha menyerang Iran.
Beliau juga mendakwa tentera AS kini berdepan risiko maut hampir setiap hari susulan serangan yang dilancarkan Iran ke atas pangkalan di negara-negara Teluk.
Mengulas lanjut, Zolfaghari membidas sikap Trump yang disifatkan tidak konsisten apabila bercakap mengenai rundingan pada sebelah pagi, namun melancarkan serangan beberapa jam kemudian.
“Individu tidak stabil ini telah membawa kerosakan besar kepada rakyat Amerika, Eropah dan dunia, khususnya di Asia Barat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pentadbiran AS agar mengambil iktibar daripada sejarah Iran dalam menghadapi kuasa luar.
“Jangan heret tentera AS ke dalam perangkap maut yang akhirnya akan menyebabkan rakyatnya sendiri berdukacita,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Pentagon sedang membuat persiapan bagi kemungkinan operasi darat berskala besar yang dijangka berlarutan dalam usaha menawan Tehran. – The Malaysian Update
The post Artesh ‘Jerung Teluk Parsi’, Sedia Hadapi Operasi Darat AS appeared first on The Malaysian Update.

