‘Artis nasyid baharu perlu kenal, jaga hubungan baik dengan media’

LocalMusic
6 Oct 2026 • 10:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Artis nasyid baharu perlu kenal, jaga hubungan baik dengan media’

KUALA LUMPUR – Kumpulan Inteam menasihatkan artis generasi muda termasuk penyanyi nasyid supaya mendapatkan nasihat individu lebih berpengalaman sebelum berkongsi sesuatu perkara di media sosial.

Salah seorang anggotanya, Hazamin atau Muhammad Hazamin Harun berkata, perkara tersebut adalah penting bagi mengelak mencetuskan salah faham dan perdebatan dalam media sosial.

“Pada zaman ini, media sosial sangat penting. Cuma bagaimana nak mengetengahkan isu atau nak dapatkan perhatian orang memang ada cara tersendiri.

“Lebih baik kalau sebelum muat naik sesuatu, kita merujuk kepada orang yang lebih berilmu dan berpengalaman.

“Terutama penyanyi nasyid, sedangkan kami nak hasilkan sesebuah lagu pun kadang-kadang kita kena rujuk ustaz sebab satu perkataan pun sudah boleh mengubah keseluruhan cerita.

“Hari ini dunia sudah berubah, semuanya digital dan jangan tersalah langkah. Sebab itu perlu ada guru,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz di Istana Budaya di sini, hari ini.

Perkara tersebut disuarakan susulan isu membabitkan seorang penyanyi nasyid yang mendakwa seolah-olah dipinggirkan media dan karyanya kurang mendapat perhatian ketika menghadiri Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, baru-baru ini.

Menurut Hazamin, situasi yang berlaku berkemungkinan berpunca daripada salah faham serta faktor teknikal, terutama apabila penyanyi terbabit merupakan penerima anugerah pertama yang diumumkan pada malam berkenaan.

“Saya rasa ada sedikit salah faham. Kategori Lagu Nasyid Terbaik adalah yang terawal diumumkan. Apabila pemenang keluar dari dewan, mungkin pihak media ketika itu belum betul-betul bersedia.

“Malah ketika giliran kami yang diumumkan selepas itu pun, keadaan masih belum sepenuhnya bersedia. Jadi saya rasa isu ini lebih kepada salah faham dari segi teknikal,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Hazamin tidak menolak kemungkinan tindakan penyanyi terbabit turut bertujuan mendapatkan perhatian serta liputan lebih luas di media sosial.

“Tetapi mungkin apa yang dilakukan penyanyi itu juga salah satu strategi untuk mencipta cerita kerana selepas luahan tersebut, banyak laporan mengenainya diterbitkan. Itu sekadar pandangan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hazamin berharap isu tersebut tidak menjejaskan hubungan baik antara media dengan penggiat nasyid lain yang selama ini sentiasa terbuka untuk bekerjasama.

“Kami berharap pihak media tidak berkecil hati mengenai hal ini sebab artis nasyid lain seperti Inteam, Rabbani dan Hijjaz memang ada hubungan baik dengan mereka.

“Saya rasa artis baharu perlu mengenali dan membina hubungan baik dengan pihak media. Jangan anggap mereka sebagai orang asing, kita semua kawan dalam industri.

“Abang Azadan (anggota Rabbani) sendiri selalu berpesan kepada kami tentang perkara ini. Saya rasa itu antara perkara yang boleh dipelajari artis baharu daripada artis lama seperti Hijjaz dan Rabbani,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hijjaz bakal kembali mengubat kerinduan peminat menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober depan.

Konsert anjuran Inteam Records itu juga sebagai lambang penghargaan terhadap karya dan perjuangan serta legasi Hijjaz yang merancakkan muzik nasyid selama tiga dekad.

Acara pada malam itu nanti juga akan diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid di bawah label Hijjaz Records seperti Inteam, UNIC dan Mestica. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Artis nasyid baharu perlu kenal, jaga hubungan baik dengan media’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved