
KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggesa golongan penggiat seni tanah air agar tidak mengambil mudah soal pengisytiharan cukai pendapatan bagi mengelakkan bebanan hutang pada masa hadapan.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, namun kesedaran itu perlu datang daripada setiap individu untuk tampil mendaftarkan diri kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Setiap warganegara tanpa mengira latar belakang pekerjaan mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membuat deklarasi pendapatan sekiranya mencecah angka RM60,000 setahun.
“Bagi mereka yang masih buntu atau tidak tahu mengenai prosedur ini, kami di Karyawan sentiasa terbuka untuk memberikan maklumat lanjut. Apa yang penting, mereka perlu daftar dan dapatkan nombor cukai sekiranya memenuhi kriteria pendapatan ditetapkan.
“Deklarasi cukai adalah tanggungjawab warganegara. Kami boleh membantu, namun kebanyakan artis memilih untuk merahsiakan pendapatan mereka atas faktor privasi dan kami menghormati hak tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Khamis.
Tambah Freddie, isu keengganan artis menguruskan cukai sering kali berpunca daripada rasa bimbang terhadap jumlah yang perlu dibayar, sedangkan hakikatnya LHDN mempunyai budi bicara dalam soal kaedah pembayaran.
“Jangan pening kepala. LHDN sebenarnya ada budi bicara dan pertimbangan jika anda tidak cukup wang untuk membayar sekaligus.
“Sebelum ini, kita pernah anjurkan seminar bersama wakil LHDN khusus untuk pelakon, namun sukar kita dapatkan peserta untuk hadir.
“Mungkin mereka takut kena bayar, walhal jika pendapatan belum mencapai tahap dikenakan cukai, anda tidak perlu bayar apa-apa. Melihat isu ini kembali hangat, mungkin sudah tiba masanya kami adakan semula seminar tersebut,” jelasnya.
Mengulas mengenai cadangan mewujudkan sistem pemotongan cukai khas bagi golongan artis, Freddie menyifatkan perkara itu agak sukar dilaksanakan tanpa kerjasama penuh daripada syarikat produksi atau majikan yang menawarkan kontrak kerja.
“Kalau mahu lakukan inisiatif ini, perlu libatkan syarikat produksi atau pihak yang tawarkan mereka pekerjaan. Jika pihak produksi menganggap itu bukan tanggungjawab mereka sebaliknya urusan peribadi artis, maka sukar untuk kita laksanakan.
“Malah, saya bimbang jika syarikat mendakwa sudah membuat potongan tetapi rupanya tidak, ia akan mencetuskan masalah lain. Cukai ini berdasarkan pendapatan tahunan, jadi yang penting adalah konsistensi individu itu sendiri untuk membayar.
“Jadi, jangan tunggu sehingga jumlahnya menjadi terlalu besar sehingga tiada jalan penyelesaian, barulah mahu terkejut. Artis perlu uruskan cukai lebih awal dan hubungi kami jika memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil berkata, sikap tidak acuh terhadap tanggungjawab itu menjadi antara punca segelintir artis dan pempengaruh berdepan tunggakan cukai yang akhirnya membebankan mereka.
Katanya, sebagai individu yang bekerja sendiri, golongan artis harus sedar tanggungjawab mereka untuk melaksanakan bayaran cukai dan mengambil maklum setiap informasi berkaitannya.
“Apabila anda bekerja sendiri, secara automatik anda harus cakna dengan bayaran cukai kerana semua aktiviti atau pembabitan artis itu akan dipantau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ada artis atau pempengaruh mudah menayangkan kekayaan mereka di media sosial. Namun apabila semakan dibuat, mereka tidak membuat pengisytiharan cukai. Apabila dipanggil, mereka abaikan dengan alasan tidak menerima sebarang pemberitahuan walhal pelbagai cara dibuat untuk menyeru untuk datang ke pejabat LHDN.
“Akibatnya maka LHDN tidak punya cara lain selain menghantar surat pemberitahuan berserta bayaran ratusan ribu sebagai anggaran untuk mereka selesaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN
The post Artis perlu urus cukai lebih awal, Karyawan tawar bantuan appeared first on Utusan Malaysia.

