
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pasti ramai yang tahu bahawa pemberian zakat merupakan satu bentuk bantuan yang diberikan kepada golongan yang layak sahaja iaitu asnaf fakir, miskin, hamba, amil, mualaf, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.
Pemberian ini bagaimanapun bukanlah diberi secara melulu, sebaliknya perlu melalui beberapa proses bagi memastikan mereka yang menerima benar-benar layak.
Malah, penerima zakat juga tidak selamanya akan menerima bantuan terbabit, mereka juga boleh meminta agar nama dikeluarkan dari senarai penerima sekiranya sudah tidak memerlukannya lagi.
Artis wanita minta nama dikeluarkan dari penerima zakat
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial seorang penggiat seni meminta agar dirinya dikeluarkan dari senarai penerima bantuan zakat di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu, artis berkenaan ingin namanya dikeluarkan agar bahagiannya itu diberikan pula kepada individu lain yang lebih memerlukan.
“Kami terharu dan kami doakan agar rezeki beliau terus diluaskan dan dipermudahkan segala urusan, dunia dan akhirat,” katanya.
Artis terima bantuan zakat demi rawatan anak
Difahamkan, insan seni itu menjadi salah seorang penerima bantuan zakat kerana memerlukan wang untuk menanggung kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit masalah tulang belakang.
Bagaimanapun, anak kesayangannya itu telahpun meninggal dunia menyebabkan dia tidak lagi memerlukan bantuan berkenaan.
“Kami terima mesej ini daripada seorang insan seni, yang pernah menerima bantuan zakat demi rawatan anaknya yang menghidap penyakit masalah tulang belakang.
“Kini, selepas pemergian anak tersayang dan dengan sedikit ruang yang Allah beri untuk dia kembali bekerja semula,” katanya.
Ainina Ahmad B akui dia individu yang minta nama dikeluarkan dari penerima zakat
Pihak LZS tidak mendedahkan identiti penggiat seni itu, namun memetik laporan MStar artis terbabit disahkan adalah pelakon wanita, Ainina Ahmad B.
Ainina mengaku dia merupakan individu yang meminta namanya dikeluarkan daripada penerima zakat selepas pemergian anak Istimewa, Nur Ara Elisya pada bulan lalu.
Jelas pelakon berusia 56 tahun itu, sebelum ini dia terbuka menerima bantuan zakat kerna memikirkan keperluan anak perempuannya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Ramai puji tindakan Ainina ingin individu lebih layak pula terima zakat
Sementara itu, memindai ke ruangan komen pada hantara LZS, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan pelakon berkenaan yang mahu bantuan zakat yang diterimanya sebelum ini diberikan kepada individu lain yang lebih layak pula.
Ada juga segelintir penerima zakat yang turut bercita-cita yang sama bahawa ingin keluar daripada senarai penerima suatu hari nanti sekiranya dikurniakan rezeki yang lebih oleh Allah SWT.




