Arwah kumpul duit untuk beli hadiah hari lahir rakan sekelas

23 Jan 2023 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara rakan sekelas mangsa yang hadir di tanah perkuburan Kampung Melayu Layang-Layang, Kluang pada Ahad. (Gambar kecil dari kiri : Nur Alya Batrisa, Adlynn Batrisya)

KLUANG – “Beberapa hari ni, dia (arwah), kumpul duit, nak tunggu saya punya birthday (hari lahir), dia nak bagi saya semua (hadiah), tapi tak dapat,”

Itu reaksi Adlynn Batrisya Azman, 16, rakan sekelas Muhammad Zharfan Noramin, 16, yang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 13, Jalan Mersing-Kluang di sini, pada Ahad.

Menurut Adlynn, Muhammad Zharfan memberitahunya perkara itu beberapa hari sebelum kejadian dan memintanya menunggu hadiah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, penantiannya itu bertukar menjadi igauan ngeri apabila mengetahui Muhammad Zharfan maut dalam kemalangan berkenaan.

“Saya kenal dia (Muhammad Zharfan) ni dari tingkatan satu. Dia suka layan orang dan beberapa hari lalu dia banyak lepak dengan kawan lelaki dia, namun tak ada meluangkan masa dengan saya pun.

“Dia juga beritahu dia dah ada tabung sebab nak kumpul duit nak tunggu saya punya birthday.

“Dia suruh saya tunggu, sebab nak bagi saya hadiah, tapi tak dapat. Bagi saya, dia memang baik dan suka senyum,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Zharfan merupakan salah seorang daripada enam mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream di Batu 13, Jalan Mersing-Kluang di sini, pada Ahad.

Kemalangan yang dilaporkan berlaku sekitar 4.30 petang itu, turut meragut nyawa adik Muhammad Zharfan, Muhammad Syakir Noramin, 11.

Kedua-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Melayu Layang-Layang di sini, pada Isnin.

Sementara itu menurut seorang lagi teman sekelas Muhammad Zharfan, Nur Alya Batrisa Othman, 16, dia dan rakan-rakan lain baru sahaja bermain badminton bersama Allahyarham, Khamis lalu.

Justeru, ketika mendapat perkhabaran mengenai kematian Muhammad Zharfan, dia mengakui memang agak terkejut.

“Kali terakhir kita orang main badminton hari Khamis itu, tak sangka dia pergi dulu.

“Saya kenal arwah ini dah lama, sejak dari kecil dan selalu main di belakang rumah," katanya