AS belanja RM154 bilion untuk perang Iran

WorldBusiness & Finance
16 Sep 2026 • 2:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS belanja RM154 bilion untuk perang Iran

WASHINGTON: Operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran mengakibatkan perbelanjaan kira-kira AS$38 bilion (RM154 bilion) setakat 1 Ogos lalu, menurut Pejabat Bajet Kongres (CBO) yang berkecuali pada Selasa.

Anggaran perbelanjaan berkenaan dijangka terus meningkat berbilion-bilion dolar bagi setiap bulan sekiranya konflik di rantau Asia Barat itu berlarutan.

Menerusi laporan rasmi, CBO memaklumkan krisis bersenjata dengan Iran menyaksikan Jabatan Pertahanan AS menanggung perbelanjaan yang amat tinggi sejak konflik meletus susulan serangan bersama AS dan Israel dari akhir Februari lalu.

Agensi itu menambah bergantung kepada tahap keamatan pertempuran, kos bulanan yang perlu ditanggung tentera AS boleh mencecah antara AS$2 bilion (RM8.11 bilion) hingga AS$3 bilion (RM12.16 bilion) atau lebih sekiranya peperangan terus berpanjangan.

Jumlah keseluruhan tersebut mencerminkan kos gantian bagi peluru dan kelengkapan ketenteraan yang musnah dalam pertempuran, selain peningkatan drastik perbelanjaan bahan api kenderaan tentera serta faktor logistik yang lain.

Kos penggantian amunisi yang digunakan setakat 1 Ogos sahaja dianggarkan mencecah AS$21.7 bilion (RM88.13 bilion) di mana CBO menarik perhatian bahawa komponen berkenaan merupakan perbelanjaan terbesar yang ditanggung Pentagon sepanjang konflik ini.

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa kos kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak pentadbiran tentera AS adalah penyusutan ketara bekalan peluru berpandu pemintas bagi sistem pertahanan udara.

Penggunaan berterusan aset berkenaan telah menyebabkan AS berdepan masalah kekurangan inventori peluru berpandu pemintas yang dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Menerusi perbandingan antara perbelanjaan amunisi pemintas yang dilaporkan dengan jumlah keseluruhan yang pernah dibeli oleh Pentagon, AS dipercayai telah menggunakan antara separuh hingga dua pertiga daripada jumlah keseluruhan simpanan amunisinya sejak Jun 2025.

Analisis terbaharu ini disediakan susulan permintaan rasmi daripada Brendan Boyle, iaitu wakil kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Bajet Dewan Perwakilan bersama beberapa ahli parlimen yang lain selepas Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth menganggarkan kos perang berkenaan mencecah AS$37.5 bilion (RM152 bilion) pada Julai lalu.- AGENSI

The post AS belanja RM154 bilion untuk perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved