AS gesa gencatan senjata ketika pemimpin Thailand-Kemboja ke Malaysia

WorldPolitics
28 Jul 2025 • 8:59 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio menggesa Kemboja dan Thailand meredakan ketegangan dan bersetuju dengan gencatan senjata susulan pertikaian sempadan yang berlarutan.

Jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce, Rubio telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn bagi menekankan kepentingan gencatan senjata serta-merta, lapor Bernama.

"Setiausaha Rubio mengulangi hasrat Presiden (Donald) Trump untuk melihat keamanan tercapai serta kepentingan gencatan senjata segera. AS bersedia memudah cara perbincangan pada masa hadapan bagi menjamin keamanan dan kestabilan antara Thailand dan Kemboja," kata Bruce dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi jabatan itu.

Menurut Bruce, Rubio turut menyampaikan mesej yang sama kepada Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa, sambil menegaskan kesediaan Washington untuk membantu memudahkan dialog dan usaha damai antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan pegawai-pegawai Jabatan Negara AS kini berada di Malaysia bagi membantu proses rundingan damai tersebut, yang dijadualkan petang ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan dalam perkembangan terbaru, Kerajaan Thailand mengesahkan akan menghadiri rundingan damai serantau di Malaysia pada Isnin bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin meruncing dengan Kemboja.

Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean ketika ini, telah menjemput kepimpinan Thailand bagi membincangkan konflik Thailand-Kemboja.

Delegasi Thailand dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira pukul 10.30 pagi, manakala mesyuarat dijadual berlangsung pada pukul 3 petang (waktu Malaysia).

Semalam, Anwar berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan, setelah mengadakan perbincangan secara berasingan dengan pemimpin Thailand dan Kemboja sepanjang minggu lepas.

Anwar berkata pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta wakil dari China telah menggesa kedua-dua pihak agar mencari jalan penyelesaian secara aman.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lepas, mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.

Pertempuran terbaharu itu dilaporkan mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand.

Pada masa sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lepas susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak bersependapat mengenai jajaran sepanjang 817 kilometer sempadan yang belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik. - 28 Julai, 2025