
BAYANGAN senjata laser yang mampu menembak sasaran dengan kelajuan cahaya bukan lagi sekadar imaginasi filem fiksyen sains.
Dalam dunia ketenteraan moden, teknologi directed-energy weapon (DEW) semakin mendapat perhatian kerana menawarkan sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh peluru berpandu konvensional iaitu bekalan ‘peluru’ yang pada asasnya bergantung kepada tenaga elektrik.
Empat sistem yang sering menjadi perhatian ialah Helios dan De M-Shorad milik Amerika Syarikat; DragonFire, Britain serta Iron Beam, Israel.
Keempat-empatnya menggunakan prinsip asas sama iaitu menumpukan tenaga laser berkuasa tinggi ke titik tertentu pada sasaran sehingga menghasilkan haba yang mencukupi untuk merosakkan komponen atau struktur sasaran.
Antara sistem paling menarik ialah High Energy Laser with Integrated Optical-dazzler and Surveillance (Helios) yang dibangunkan untuk Tentera Laut Amerika Syarikat.
Sistem ini dibangunkan oleh Lockheed Martin dan dipasang pada kapal pemusnah kelas Arleigh Burke, termasuk USS Preble.
Menurut pengarah Pembangunan Perniagaan Lockheed Martin, Joe Ottaviano, Helios mempunyai laser sekitar 60 kilowatt dan direka bukan sekadar untuk memusnahkan sasaran tetapi turut berfungsi sebagai sistem pengawasan serta optical dazzler bagi mengganggu penderia optik musuh.
Laporan terkini menunjukkan sistem berkenaan telah mencapai kuasa 60 kilowatt ketika ujian di laut.
“Teknologi Helios menarik kerana ia boleh digunakan dalam dua bentuk pertahanan. Dalam mod soft kill, pancaran laser boleh digunakan untuk mengganggu atau merosakkan sistem optik sasaran.
“Dalam mod hard kill pula, tenaga laser ditumpukan pada bahagian tertentu sasaran dalam tempoh tertentu sehingga menghasilkan kerosakan fizikal,” katanya menerusi artikel yang dimuat naik portal lockheedmartin.
Tambahnya, berbanding peluru berpandu yang perlu dilancarkan bagi setiap sasaran, laser boleh digunakan berulang kali selagi kapal mempunyai bekalan tenaga dan sistem penyejukan yang mencukupi. Keupayaan ini menjadikan kos setiap serangan berpotensi jauh lebih rendah.

Jika Helios menunjukkan masa depan senjata laser di laut, DragonFire pula merupakan antara projek paling penting Britain untuk membawa teknologi sama ke kapal perang.
Dibangunkan melalui kerjasama MBDA Britain, Leonardo Britain, QinetiQ dan Defence Science and Technology Laboratory (Dstl), DragonFire menggunakan laser berkuasa tinggi dalam kelas sekitar 50 kilowatt.
Pengarah Urusan MBDA UK, Chris Allam berkata, kekuatan utamanya bukan hanya pada kuasa tetapi pada ketepatan pancaran.
“Sistem ini mempunyai ketepatan yang begitu tinggi sehingga konsepnya boleh diibaratkan seperti mengenakan objek bersaiz syiling pada jarak satu kilometer.
“Ujian DragonFire turut menunjukkan potensinya terhadap sasaran udara. Pada 2025, sistem berkenaan dilaporkan berjaya menembak jatuh dron berkelajuan tinggi dalam ujian, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa teknologi tersebut boleh digunakan dalam situasi pertahanan sebenar.
Katanya lagi, Britain memperuntukkan lebih £300 juta (RM1.6 bilion) untuk pembangunan dan pengeluaran awal DragonFire dengan sistem itu dirancang untuk dipasang pada kapal Tentera Laut Diraja menjelang 2027.
Satu lagi sistem yang mencuri perhatian ialah Iron Beam dari Israel yang dibangunkan oleh Rafael Advance Defense Systems.
Berbanding Helios dan DragonFire yang banyak dikaitkan dengan pertahanan kapal, Iron Beam dibangunkan sebagai sistem pertahanan udara berasaskan darat.
Pengerusi Rafael Advance Defense Systems, Yuval Steinitz menyatakan, sistem tersebut berada dalam kelas 100 kilowatt, menjadikannya antara sistem laser tenaga tinggi paling berkuasa yang memasuki fasa operasi. Ia direka untuk menangani ancaman termasuk roket jarak dekat, mortar dan dron.
“Keistimewaan Iron Beam terletak pada peranannya sebagai lapisan tambahan kepada sistem pertahanan udara Israel yang sedia ada.
“Dalam ujian yang dilaporkan pada 2025, sistem ini berjaya memintas pelbagai jenis ancaman udara dalam konfigurasi operasi,” kongsinya.

Reuters juga pernah melaporkan bahawa Israel menyasarkan penggunaan operasi Iron Beam pada penghujung 2025, manakala Rafael mengumumkan penghantaran sistem operasi pertamanya pada Disember tahun yang sama.
Sementara itu, De M-Shorad (Directed Energy Maneuver Short-Range Air Defense) mewakili pendekatan berbeza kerana laser dipasang pada platform kenderaan tempur.
Sistem ini dibangunkan untuk memberikan perlindungan bergerak kepada pasukan darat, khususnya daripada dron dan ancaman udara jarak dekat.
Konsepnya ialah membawa kuasa laser bersama unit tentera supaya pertahanan tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem pertahanan udara tetap atau peluru berpandu.

Program Stryker 50 kilowatt ini bagaimanapun menghadapi perubahan hala tuju dalam perancangan Tentera Darat AS, dengan pengalaman teknologinya menjadi asas kepada usaha laser generasi seterusnya.
Walaupun keempat-empat sistem kelihatan seperti ‘senjata masa depan’, teknologi laser masih mempunyai batasan. Laser memerlukan garis pandang terus, manakala hujan, kabus, debu dan keadaan atmosfera boleh mempengaruhi penyebaran pancaran.
Penyelidik pertahanan di sebuah institut penyelidikan bukan berasaskan keuntungan, Rand Europe, James Black berpendapat, sistem ini juga memerlukan bekalan elektrik dan penyejukan yang besar.
“Lebih penting, laser perlu mengekalkan pancaran pada titik sasaran untuk tempoh tertentu bagi menghasilkan kesan yang diperlukan.
“Inilah antara cabaran teknikal terbesar dalam pembangunan senjata laser.
“Namun begitu, perkembangan Helios, DragonFire, Iron Beam dan De M-Shorad memperlihatkan perubahan besar dalam falsafah pertahanan moden,” ulasnya.
Jelasnya lagi, daripada bergantung kepada stok peluru berpandu yang mahal, tentera kini meneroka senjata yang menggunakan tenaga elektrik sebagai ‘amunisi’.
Jika teknologi ini terus berkembang, laser berkuasa tinggi berpotensi menjadi lapisan penting dalam pertahanan udara masa depan, khususnya ketika dunia berdepan peningkatan penggunaan dron murah secara besar-besaran.
The post AS, Israel, Britain dominasi teknologi senjata laser tercanggih appeared first on Kosmo Online.






