AS kembali kenakan sekatan perdagangan minyak Iran

WorldBusiness & Finance
8 Jul 2026 • 11:13 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

AS kembali kenakan sekatan perdagangan minyak Iran

WASHINGTON, 8 JULAI: Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan semula sekatan terhadap perdagangan minyak Iran, kata Jabatan Perbendaharaan pada Selasa, dengan membatalkan pengecualian yang diberikan lebih dua minggu lalu susulan serangan baharu ke atas kapal tangki di Selat Hormuz, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pejabat Kawalan Aset Asing jabatan itu memaklumkan pihaknya membatalkan lesen yang sebelum ini membenarkan urus niaga sementara melibatkan minyak mentah, produk petroleum dan petrokimia Iran.

Urus niaga sedia ada yang telah diluluskan sebelum ini hanya boleh diselesaikan sehingga 17 Julai, sebelum pembelian baharu atau pemuatan minyak Iran ke atas kapal kembali dilarang selepas tarikh itu.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengecualikan sekatan terhadap minyak Iran bagi tempoh 60 hari di bawah perjanjian sementara yang ditandatangani dengan Iran bulan lalu bagi menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak dan gas global.

Pengecualian itu sebelum ini dijadual berkuat kuasa sehingga 21 Ogos.

Keputusan menarik balik pengecualian itu dibuat tidak lama selepas Qatar menuduh Iran menyerang kapal tangki gas asli cecair (LNG) Qatar, Al-Rekayyat di selat berkenaan, dengan mendakwa Tehran membahayakan perkapalan antarabangsa dan bekalan tenaga global.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) turut melaporkan insiden melibatkan kapal komersial di Selat Hormuz pada Selasa.

Seorang pegawai pentadbiran AS, yang bercakap kepada pemberita berkata pengecualian itu ditarik balik kerana perjanjian sementara dengan Iran bergantung kepada tindakan Tehran.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat lebih lima peratus susulan pengumuman itu, dengan kontrak penanda aras bagi penghantaran Ogos didagangkan sekitar US$76 setong.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved