AS kenakan tarif 10% ke atas Malaysia berkaitan buruh paksa bermula hari ini

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2026 • 4:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: AS kenakan tarif 10% ke atas Malaysia berkaitan buruh paksa bermula hari ini

PETALING JAYA – Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari Malaysia susulan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan isu buruh paksa, berkuat kuasa bermula 12.01 tengah malam waktu AS pada 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain yang terlibat dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.

Menurutnya, kadar tarif yang lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia untuk melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif 10 peratus itu berkuat kuasa sejurus tamatnya tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, MITI memaklumkan bahawa siasatan Seksyen 301 berkaitan isu lebihan kapasiti yang melibatkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).

Jelasnya, sebaik sahaja USTR memuktamadkan kadar tarif berkaitan lebihan kapasiti itu, MITI akan memaklumkan keputusan berkenaan kepada semua pihak berkepentingan.

MITI turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus berunding dengan AS bagi menangani isu perdagangan yang sedang dibincangkan. – KOSMO! ONLINE

The post AS kenakan tarif 10% ke atas Malaysia berkaitan buruh paksa bermula hari ini appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved