AS Lancar Serangan Di Selatan Iran, Dakwa Lindungi Anggota Daripada Ancaman Tentera Iran

WorldPolitics
26 May 2026 • 9:03 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: AS Lancar Serangan Di Selatan Iran, Dakwa Lindungi Anggota Daripada Ancaman Tentera Iran

TEHRAN – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melancarkan serangan terhadap pangkalan peluru berpandu serta beberapa bot milik Iran di bahagian selatan negara itu hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), tindakan itu dilakukan atas alasan mempertahankan keselamatan anggota tenteranya daripada ancaman yang didakwa datang daripada pasukan tentera Iran.

Jurucakap CENTCOM, Tim Hawkins berkata operasi tersebut dilaksanakan sebagai langkah mempertahankan diri, namun tidak memperincikan lokasi tepat atau skala serangan yang dijalankan.

AS Dakwa Serangan Bersifat Pertahanan

“Tentera AS melakukan serangan mempertahankan diri di selatan Iran hari ini bagi melindungi anggota kami daripada ancaman yang ditimbulkan oleh pasukan tentera Iran,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Terdahulu pada April, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memaklumkan bahawa negaranya telah melancarkan serangan pengeboman besar-besaran terhadap sasaran ketenteraan Iran di kawasan hab minyak Pulau Kharg.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump mendakwa sasaran ketenteraan berkenaan telah dimusnahkan sepenuhnya dalam antara operasi pengeboman paling kuat di rantau Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa infrastruktur minyak di pulau tersebut tidak menjadi sasaran ketika itu.

Trump turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan untuk mengganggu laluan perkapalan di Selat Hormuz boleh menyebabkan Washington menilai semula pendirian semasa dan mengambil tindakan lanjut. – The Malaysian Update