
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 48 pesawat pejuang kalis radar F-35 bernilai AS$24.3 bilion (RM99 bilion) kepada Arab Saudi, kata Jabatan Negara pada Khamis, dalam pembelian senjata utama terbaharu kerajaan itu sejak perang Iran bermula.
Arab Saudi sudah lama berusaha mendapatkan F-35.
Namun, pegawai Israel, satu-satunya negara di Asia Barat yang kini mengoperasikan pesawat berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap penjualannya kepada Riyadh, walaupun terdapat usaha untuk kerajaan itu menormalisasikan hubungan dengan Israel.
“Cadangan penjualan ini akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menghalang ancaman semasa dan masa depan dengan memperkukuh pertahanan dalam negerinya serta meningkatkan kesalingoperasian dengan pasukan Amerika,” kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.
“Penjualan itu juga akan menambah aset pesawat operasi Arab Saudi dan meningkatkan keupayaan pertahanan udara-ke-udara serta udara ke darat,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Negara sudah memaklumkan Kongres mengenai cadangan penjualan itu yang memerlukan kelulusan anggota perundangan AS.
Jabatan itu tidak memberikan tempoh masa penghantaran pesawat berkenaan.
Penjualan F-35 itu tidak akan mengubah keseimbangan ketenteraan di rantau ini, kata Jabatan Negara, selaras dengan dasar lama AS bahawa Israel mesti mempunyai kelebihan ketenteraan berbanding bakal musuh serantau.
Setakat ini, AS hanya membenarkan penjualan F-35 kepada sekutu terdekatnya, termasuk beberapa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah dan Israel.
Washington menyingkirkan Turkiye daripada program F-35 pada 2019 kerana pembelian sistem pertahanan udara buatan Russia oleh Ankara mencetuskan kebimbangan bahawa Moscow mungkin memperoleh teknologi pesawat berkenaan.
Penjualan F-35 itu merupakan pembelian senjata utama terbaharu Arab Saudi dalam siri perolehan besar-besaran tahun ini.
Jabatan Negara pada awal September mengumumkan kelulusan penjualan lebih 10,000 bom bernilai AS$5 bilion (RM20 bilion) kepada Riyadh.
Washington turut meluluskan penjualan 60 enjin kereta kebal dan peralatan berkaitan kepada Arab Saudi bernilai AS$750 juta (RM3 bilion) bulan ini, selain perjanjian bernilai AS$1.96 bilion (RM8 bilion) pada Julai kepada Riyadh membeli bahagian sistem panduan yang boleh menukar roket kepada senjata berpanduan tepat. – AFP
The post AS lulus jual jet 48 jet tempur F-35 bernilai RM99 billion kepada Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

