
WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan lima kapal tangki minyak Iran, semalam selepas Tehran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah kapal perang AS sebanyak dua kali dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Serangan itu merupakan kali kedua Washington menyasarkan kapal tangki Iran dalam tempoh kurang daripada seminggu sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal tentera AS.
Serangan itu mencetuskan ikrar Tehran untuk membalas dengan menyasarkan kapal tangki minyak berhampiran negara-negara Teluk sekutu AS.
“Pasukan Amerika mengarahkan anak kapal untuk meninggalkan kapal sebelum kapal-kapal tersebut diserang dan dilumpuhkan,” kata Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan mengenai serangan itu, yang dilakukan ‘sebagai tindak balas terhadap serangan terkini Iran yang gagal’.
Menurutnya, pemusnahan kapal tangki itu berlaku selepas ‘Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan kapal perang Tentera Laut AS dengan peluru berpandu balistik sebanyak dua kali sepanjang dua hari lalu.
“Kapal perang itu berjaya mengelak cubaan serangan Iran tersebut dan meneruskan rondaan di perairan serantau,” katanya.
Pasukan AS memusnahkan tiga kapal tangki minyak mentah Iran pada hari Sabtu lalu selepas Iran cuba menyerang kapal pengangkut pesawat dan kapal pembinasa peluru berpandu AS, menurut CENTCOM.
“Semua cubaan IRGC terhadap kapal perang Tentera Laut AS telah gagal,” tambahnya.
Semalam, ketua staf Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, telah memberi amaran bahawa Tehran akan menyerang pangkalan-pangkalan AS di rantau itu sekiranya kapal tangki minyak Iran diserang. – AFP
The post AS musnahkan lima kapal tangki minyak Iran appeared first on Kosmo Online.
