AS setuju adakan rundingan lanjut dengan Malaysia isu tarif, kata PM

5 May 2025 • 12:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kerajaan Amerika syarikat (AS) bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia mengenai tarif timbal balas mengejut dikenakannya ke atas negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun ini perbincangan awalan, beliau optimis terdapat kemungkinan AS akan mengurangkan kadar tarif timbal balas yang dikenakan ke atas Malaysia.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

“(Pada masa sama) tiada sebarang komitmen muktamad yang telah dibuat oleh Malaysia mahupun pihak AS,” kata beliau pada sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menegaskan segala perbincangan yang sedang berjalan adalah tertakluk di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.

“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh, termasuk di peringkat Kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” kata Anwar.

Pada 24 April lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi peringkat tinggi Malaysia ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan mengenai kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan selain mengulangi kesediaan Malaysia bagi mengenal pasti jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan disuarakan oleh AS.

-BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved