As Tamatkan Operasi “Epic Fury” Terhadap Iran

WorldPolitics
6 May 2026 • 6:36 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: As Tamatkan Operasi “Epic Fury” Terhadap Iran

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, mengesahkan bahawa Amerika Syarikat telah menamatkan operasi offensive terhadap Iran, lapor Agence France-Presse.

Menurut Rubio, operasi yang dikenali sebagai “Epic Fury” itu kini sudah selesai sepenuhnya seperti dimaklumkan oleh presiden kepada Kongres.

“Operasi itu sudah tamat. Kami sudah selesai dengan fasa tersebut,” katanya ketika bercakap kepada media di White House.

Gencatan Senjata Elak Kelulusan Kongres

Sebelum ini, pihak White House memaklumkan bahawa konflik berkenaan ditamatkan susulan pelaksanaan gencatan senjata, sekali gus mengelakkan keperluan mendapatkan kelulusan Kongres bagi operasi ketenteraan melebihi tempoh 60 hari.

Namun begitu, Presiden Donald Trump tetap memberi amaran keras kepada Iran agar tidak menyerang aset Amerika, termasuk kapal di kawasan strategik seperti Selat Hormuz.

Malah, Trump turut mengumumkan inisiatif “Project Freedom” bagi membantu pergerakan kapal keluar masuk di laluan tersebut.

As Tegas Operasi Kini Bersifat Pertahanan

Rubio menegaskan bahawa tindakan Amerika kini bersifat pertahanan semata-mata.

“Ini bukan operasi offensive. Tiada tembakan akan dilepaskan kecuali kami diserang terlebih dahulu,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, objektif utama operasi tersebut telah berjaya dicapai, termasuk memberi tekanan besar terhadap ekonomi Iran.

Walaupun ketegangan masih wujud, Trump dilaporkan masih terbuka untuk menyelesaikan konflik melalui rundingan dengan Tehran.

Isu Akta Kuasa Perang Jadi Perdebatan

Dalam masa sama, Rubio turut mengkritik Akta Kuasa Perang 1973 yang mewajibkan presiden memaklumkan kepada Kongres dalam tempoh 48 jam selepas penghantaran tentera.

“Kami tidak melihat undang-undang itu sebagai berperlembagaan, namun beberapa elemennya tetap dipatuhi demi hubungan baik dengan Kongres,” katanya.

Serangan, Balasan & Gencatan Senjata

Terdahulu, Israel bersama Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang mengorbankan beberapa pemimpin kanan serta memusnahkan lokasi strategik ketenteraan dan ekonomi.

Namun, Iran tidak tumbang dan bertindak balas dengan serangan peluru berpandu serta dron di seluruh rantau tersebut.

Pada 8 April, Trump mengumumkan gencatan senjata yang kemudiannya dilanjutkan, walaupun rundingan dengan Iran masih belum mencapai penyelesaian muktamad. – The Malaysian Update

The post As Tamatkan Operasi “Epic Fury” Terhadap Iran appeared first on The Malaysian Update.