AS terdesak kekalkan pengaruh, konflik Asia Barat kian meruncing

WorldPolitics
29 Apr 2026 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AS terdesak kekalkan pengaruh, konflik Asia Barat kian meruncing
Konflik berpanjangan di Asia Barat menyaksikan Amerika Syarikat (AS) semakin terdesak untuk mencari jalan keluar bagi mengekalkan pengaruhnya di pentas global. Gambar kecil: Muhammad Khalil.

SHAH ALAM - Konflik berpanjangan di Asia Barat menyaksikan Amerika Syarikat (AS) semakin terdesak untuk mencari jalan keluar bagi mengekalkan pengaruhnya di pentas global.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, AS kini berdepan tekanan politik dan moral apabila gagal meraih sokongan majoriti komuniti antarabangsa, termasuk sekutu tradisinya di Eropah.

Menurut beliau, Republik Islam Iran pula kekal bertegas enggan kembali ke meja rundingan selagi syarat gencatan senjata tidak dipatuhi, termasuk isu sekatan laut, serangan berterusan Israel serta syarat perjanjian yang tidak munasabah.

"Lawatan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi ke Pakistan dilaporkan telah menyerahkan cadangan perjanjian gencatan senjata terbaharu kepada Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif untuk diserahkan kepada AS.

"Presiden, Donald Trump telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama anggota Kabinet keselamatannya membincangkan cadangan gencatan senjata terbaharu tersebut.

"Namun masyarakat antarabangsa khususnya rakyat Iran masih skeptikal terhadap tindakan AS yang dianggap tidak konsisten dan sikap itu turut dipengaruhi konflik melibatkan Venezuela yang akhirnya menculik Presiden, Nicolas Maduro ketika itu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, di sebalik gesaan dan desakan agar Iran kembali ke meja rundingan, AS sedang memperkukuhkan kehadiran ketenteraan di rantau berkenaan.

"AS bersiap sedia menghantar kapal pengangkut USS Dwight D Eisenhower ke Asia Barat. Jika ia berlaku, terdapat empat kapal pengangkut dengan kekuatan lebih 250 pesawat pejuang dan lebih 6,000 anggota tenteranya, semestinya sesuatu yang lebih besar daripada sebelumnya bakal berlaku.

"Kapal pengangkut kargo tentera AS masih lagi bergerak tanpa henti dan ini tidak termasuk lagi lebih 20 kapal perang tentera laut dengan ribuan anggota yang mana 'assault amphibious ship' seperti USS Tripoli yang berada di sana," katanya.

Muhammad Khalil berkata, perkembangan tersebut meningkatkan kebimbangan kemungkinan perang kembali tercetus, lebih-lebih lagi apabila beberapa negara termasuk di Eropah, China dan Rusia mula menggesa rakyat mereka meninggalkan Iran, Lubnan, Iraq dan Israel.

Beliau turut mengaitkan situasi itu dengan faktor politik domestik AS, khususnya menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres, November depan.

"Dengan pola sokongan semasa yang dilihat memihak kepada Demokrat susulan kemerosotan sokongan terhadap Republikan, isu di Asia Barat berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.

"Tekanan politik turut dirasai di Israel apabila sokongan terhadap parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu dan parti politik ekstrimis berhaluan kanan mula menurun dengan begitu drastik dengan protes saban hari berlaku di Tel Aviv," ujarnya lagi.

Menurut beliau, berdasarkan sejarah, konflik peperangan sering dijadikan alat untuk meraih sokongan rakyat dan mengekalkan kuasa pemerintahan.

"Ketika ini dunia berdebar menanti apa yang bakal berlaku di Timur Tengah, apakah perang akan berlangsung kembali atau akan termenterai gencatan senjata.

"Jika perang berlangsung kembali, pastinya Iran dan 'Axis of Resistant' telah bersiap sedia menghadapi serta mampu menyebabkan 'luka yang lebih parah' ke atas Amerika Syarikat dan negara haram Israel," katanya.

Jelas Muhammad Khalil, empayar Amerika Syarikat sedang meniti hayat-hayat akhir penguasaan hegemoninya ke atas dunia.

"Jatuhnya Amerika Syarikat bermakna hilanglah negara haram Israel dari peta dunia dan Asia Barat.

"Sayangnya, masih ada lagi negara dunia Islam yang tidak sedar diri dan percaya serta berpaut kuat kepada AS dan negara haram Israel," katanya lagi.