
Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menolak permohonan visa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada minggu hadapan, lapor sumber-sumber yang rapat dengan perkara tersebut.
Tindakan ini menandakan tahun kedua berturut-turut sekatan seumpamanya dikenakan ke atas pemimpin Palestin itu.
Menurut Jabatan Negara AS dalam satu laporan kepada Kongres pada hari Rabu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) didakwa sekali lagi gagal mematuhi komitmen di bawah undang-undang AS.
Washington memetik tindakan Palestin di organisasi antarabangsa sebagai alasan, termasuk langkah untuk “mengantarabangsakan konflik Israel-Palestin” melalui platform seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Selain itu, AS menuduh pegawai-pegawai Palestin cuba “memintas rundingan dengan mendapatkan pengiktirafan sepihak” bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Jabatan Negara tersebut turut melemparkan tuduhan bahawa PLO dan PA “terus membayar elaun kepada pengganas serta mengagungkan tindakan dan pelaku keganasan” dalam pengumuman awam serta buku teks sekolah mereka.
“Akibat kegagalan mereka untuk melakukan pembaharuan… Amerika Syarikat akan melanjutkan sekatan yang menafikan pengeluaran visa kepada ahli-ahli PLO dan pegawai PA,” tegas jabatan itu dalam satu kenyataan rasmi.
Langkah sekatan terbaharu ini dibuat menjelang sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB yang dijadualkan bermula minggu depan.
Ia merupakan kesinambungan daripada keputusan pentadbiran AS pada tahun lalu (2025), di mana Washington telah menolak atau membatalkan visa untuk para pegawai PLO dan PA menjelang UNGA, walaupun wujud gesaan daripada beberapa negara sekutu AS agar keputusan tersebut dikaji semula.
Meskipun misi PA ke PBB menerima pengecualian tertentu di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB, Presiden Mahmoud Abbas pada tahun lalu tetap tidak dapat hadir secara fizikal dan hanya menyampaikan ucapannya kepada perhimpunan itu secara maya. Pejabat Presiden sebelum ini telah mendesak agar AS menarik balik sekatan tersebut.
Menurut laporan semalam, AS sekali lagi menolak permohonan visa Abbas untuk UNGA tahun ini, bersama-sama dengan permohonan beberapa pegawai PA yang lain.
(Sumber: TRT World & Agensi)



