
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan hidup sebagai suami isteri bukanlah hanya mengenai kebahagiaan bercinta. Sebaliknya kehidupan berumah tangga ini dilalui dengan pelbagai cabaran yang mendatang.
Ada yang diuji dengan ekonomi kewangan, tingkah laku dan bermacam-macam lagi, namun sikap sentiasa bersyukur dan meletakkan segalanya kerana Allah SWT membuatkan sesebuah keluarga itu bahagia dengan cara mereka sendiri.
Wanita kagum dengan kuasa Allah SWT bagi rezeki
Baru-baru ini seorang wanita di Threads yang dikenali sebagai Zara Leeyana telah menceritakan pengalamannya jika seseorang bersyukur dengan rezeki Allah SWT.
Menerusi hantaran dikongsikan, Zara begitu kagum dengan kuasa Allah SWT ini kerana suaminya sebelum ini telah membeli barangan basah yang dilabel paket kuning di sebuah pasar raya.
Suami beli barang basah yang dijual murah dari pasar raya
Label tersebut adalah untuk memaklumkan ia barangan untuk dijual dengan cepat pada harga murah.
Oleh itu, suaminya dapat membeli ikan merah sebanyak dua ketul pada harga RM13, sotong rendam lebih kurang RM5 untuk dua ekor.
“Murah betul, gembira sangat sebab dah lama tak makan ikan merah, sebab mahal tahan lah dulu niat tu, zaman berjimat ni. Yang mana boleh jimat, kita jimat. Suami pun bawa balik rumah, kita pun capai ikan, dengan sotong.
“Siap-siap nak siang sotong dengan ikan bukalah bekas balutan ikan dengan sotong tu, dalam hati ‘alamak macam ada bau sikitlah.’ Kebetulan suami menyapa ‘ okay tak sayang (panggilan si isteri) ikan dengan sotong tu?’
“Aku pun tak sampai hati nak cakap, ‘ok bang.’ Aku pun basuh dengan tepung, basuh bersih-bersih, bukan apa kesian suami aku dahlah balik kerja shift malam. Lepas tu pergi buat kerja sambilan Grab pula,” katanya dalam hantaran tersebut.
Goreng ikan walau dah sedikit berbau
Ikan tersebut kemudianya digoreng manakala sotong pula dimasak sambal. Bukan hanya itu, Zara turut memasak sayur lemak bayam bersama labu dan juga sambal belacan.
Selesai memasak makanan itu kemudian dihidang dan mereka makan bersama-sama.
Namun apa yang membuatkan Zara kagum, ikan yang digoreng itu langsung tidak berbau bahkan rasanya persis seperti ikan segar dan isi kenyal.
“Ikan merah yang aku goreng tu yang tadi isi macam lembik, yang berbau sikit tu, MasyaAllah, rasa sebijik macam bau naik laut! Isi dia kenyal! Segar sangat MasyAllah, nak nangis aku!”
View on Threads
Kuasa Allah SWT yang memberi rezeki, ikan rasa segar seperti baru naik dari laut
Katanya lagi nasi yang ditanak juga habis bahkan sang suami turut memuji makanan dimasak pada malam itu sedap.
Selesai makan malam, suaminya kemudian membantu Zara membasuh pinggan manakala dia pula mengemas meja, menyapu lantai serta mengemop bawah meja.
“Aku pun cerita ‘abang nak tahu tak tadi ikan tu dah bau sikit. Sayang tak nak lah cakap dekat abang tapi betullah Allah Maha Kaya, ikan tu tadi jadi sedap betul kan, macam baru naik bot.’
“Suami aku cakap ‘mungkin Allah tahu kot abang susah-susah cari rezeki.’ Entah situasi malam ni buat aku tersentak betul,” ujar Zara.
View on Threads
Ramai sebak dan puji suami isteri usaha cari dan hargai rezeki
Melihat di ruangan balas, ramai yang mendapat banyak pengajaran daripada penceritaan Zara mengenai rezeki tersebut.
Malah ada juga mengatakan Zara merupakan isteri yang qanaah kerana mentaati suaminya. Manakala suami pula bersifat qawwam kerana berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan menyediakan keperluan keluarga sebaiknya.
Tidak kurang ada yang memuji kerana Zara bijak apabila menggoreng ikan tersebut. Kata individu itu bahan basah yang sudah tidak segar seeloknya digoreng kerana akan menutup rasa atau baun tersebut.
Ada juga mengatakan ikan tersebut berasa sedap dan segar kerana usaha keduanya yang berusah mencari rezeki manakala si isteri dengan ikhlas masak dengan penuh kasih sayang.
Bahkan ada yang berasa sebak apabila membaca hantaran dikongsikan oleh Zara.
“Allah bagi elok sebab awak isteri yang qanaah dan suami awak, suami yang qawwam. Selain tu, untuk bahan basah yang dah kurang segar sikit, memang ekok masak yang bergoreng.”

“Asbab awak sis. Allahuakbar rezeki suami sebab nak bagi makan awak. Awak dengan ikhlas hati masak dengan penuh kasih saya. Saya pernah juga macam tu. Alhamdulillah, Allah bagi sedap untuk anak-anak makan”

“Kehebatan tawakal dan syukur. Semoga keluarga ini dilimpahi rezeki yang sentiasa mengalir dan semoga keluarga ini sentiasa dalam lindungan illahi.”

“Allahuakbar, Allah SWT bagi sedap, berkat keikhlasan hati puan suami isteri”

